WILAYAH - UTARA > BERITA

KURANGKAN GULA, AMALKAN PEMAKANAN SIHAT - PM ANWAR

24/01/2026 12:02 PM

BUTTERWORTH, 24 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya mengurangkan pengambilan gula memandangkan Malaysia antara negara yang mencatat kadar diabetes tertinggi di Asia.

Beliau berkata tabiat pemakanan tidak sihat khususnya pengambilan gula yang tinggi menjadi antara punca utama peningkatan masalah kesihatan awam, sekali gus memberi tekanan kepada sistem perubatan negara.

“Penggunaan gula di Malaysia ini antara tertinggi di Asia. Kerajaan membelanjakan sejumlah besar untuk perubatan tetapi amalan pemakanan sihat perlu diperkukuh agar rakyat tidak terdedah kepada pelbagai penyakit,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran blok baharu Hospital Seberang Jaya di Perai hari ini.

Anwar berkata kempen kesedaran mengenai pengurangan gula perlu dipertingkatkan termasuk melalui penyediaan pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat di hospital serta premis kerajaan.

Beliau juga mencadangkan supaya minuman bergula dikurangkan di semua hospital, selain jamuan rasmi kerajaan turut disediakan dengan kandungan gula minimum sebagai langkah mendidik masyarakat.

Selain itu, beliau berkata hospital dan klinik juga wajar memainkan peranan lebih aktif dengan memaparkan poster serta mesej kesihatan yang jelas bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

Mengenai blok baharu Hospital Seberang Jaya, Perdana Menteri berkata ia penambahan penting bagi memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatan di Seberang Perai dan kawasan sekitar, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan mutu rawatan lebih berkesan, segera dan dekat dengan rakyat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan