WILAYAH - SABAH > BERITA

PRK KINABATANGAN CATAT 33 PERATUS KELUAR MENGUNDI, LAMAG 30 PERATUS SETAKAT 11 PAGI - SPR

24/01/2026 02:01 PM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan merekodkan sebanyak 33 peratus atau 15,943 pengundi setakat 11 pagi ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula, sebanyak 30 peratus atau 4,042 pengundi telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh sama.

Menurut beliau, keberadaan pengundi di luar kawasan Parlimen dan DUN berkenaan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang rendah pada ketika ini.

Katanya kadar peratusan yang direkodkan itu adalah lebih rendah berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, November tahun lepas, untuk tempoh yang sama.

"Jika melihat pada keadaan semasa, kadar keluar mengundi agak rendah berbanding PRN baru-baru ini.

“Saya berharap pengundi dapat mengambil peluang ini untuk hadir dan menunaikan tanggungjawab mereka seberapa ramai mungkin," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam II di sini, hari ini.

Ramlan berkata setakat ini, proses pengundian di semua pusat pengundian berjalan lancar.

Sebanyak 36 pusat mengundi dengan 117 saluran dibuka serentak pada 7.30 pagi ini dan akan ditutup secara berperingkat sehingga 5.30 petang.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima lima laporan sepanjang berlangsungnya kedua-dua PRK berkenaan, dengan empat daripadanya membabitkan kesalahan pilihan raya semasa berkempen dan satu lagi berkaitan provokasi.

“Namun, ia tidak melibatkan sebarang laporan polis setakat ini, selain tindakan yang diambil oleh badan pemantau yang dilantik,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan