WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBANGUNAN PENDIDIKAN PARLIMEN HANG TUAH JAYA DIJANGKA MENINGKAT RM1 JUTA

24/01/2026 06:32 PM

MELAKA, 24 Jan (Bernama) -- Agenda memperkasa pembangunan pendidikan dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya dijangka meningkat kepada RM1 juta pada tahun ini, berbanding lebih RM600,000 pada tahun lepas.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata dana itu merangkumi pelbagai bentuk bantuan persekolahan seperti pakaian sekolah, peralatan persekolahan, biasiswa, serta menaik taraf fasiliti dan kemudahan asas di sekolah.

Beliau berkata terdapat 23 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah dalam kawasan Parlimen itu, masing-masing mempunyai keperluan berbeza bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan sistem penyampaian untuk melahirkan pelajar cemerlang.

“Pada tahun ini, kita akan meneruskan agenda memperkasa pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah Parlimen Hang Tuah Jaya, termasuk menyelesaikan isu kekurangan fasiliti atau infrastruktur asas di bilik darjah seperti kekurangan kerusi.

“Usaha ini bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti infrastruktur asas di sekolah, tetapi juga memastikan keselesaan dan keselamatan murid ketika menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan 100 kerusi bagi kegunaan murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Tun Razak 2 kepada guru besar sekolah itu, Norazurah Md Isa.

Adam Adli berkata Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah turut bekerjasama dengan pihak swasta, korporat dan yayasan yang menyalurkan bantuan serta sumbangan, sekali gus membantu lebih banyak program atau inisiatif dilaksanakan kepada sekolah dan murid yang memerlukan.

“Usaha ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan JAIM,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata sumbangan kerusi itu diharap dapat dimanfaatkan oleh murid SRA JAIM Kampung Tun Razak 2 yang terpaksa berkongsi kemudahan asas dengan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak.

“SRA JAIM Kampung Tun Razak 2 mempunyai 452 murid dan menumpang bangunan SK Kampung Tun Razak serta menggunakan infrastruktur seperti kerusi dan meja sekolah tersebut.

“Keadaan ini menjadi kekangan kepada murid dan guru SRA JAIM Kampung Tun Razak 2 yang menggunakan enam bilik darjah bagi dua sesi persekolahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan