WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPS KHAS: JPJ SITA ENAM KERETA MEWAH BERNILAI RM 1.5 JUTA

25/01/2026 06:15 PM

BENTONG, 25 Jan (Bernama)  -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita enam kereta mewah dianggarkan bernilai RM1.5 juta atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Karak di sini, hari ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ  Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata salah sebuah kenderaan mewah itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak tindakan undang-undang.

"Hasil pemeriksaan mendapati kereta mewah itu menggunakan nombor pendaftaran yang tidak sepadan dengan rekod sebenar kenderaan, sekali gus menimbulkan syak terhadap cubaan mengelak tindakan penguatkuasaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kenderaan terbabit turut melakukan kesalahan lain seperti tiada cukai jalan dan perlindungan insurans, sekali gus menjadikan kes itu antara pelanggaran paling serius dikesan sepanjang operasi.

"Siasatan lanjut turut mendapati motif utama pemandu terbabit berbuat demikian adalah untuk mengelak pengesanan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS)," katanya.

Muhammad Kifli berkata kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu itu disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000, selain tindakan undang-undang lain berkaitan.

"Baki kereta mewah lain yang disita dalam Ops sama didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan pelindungan insurans," katanya.

Selain kereta mewah terbabit, beliau berkata pihaknya turut menyita 15 kereta, lapan motosikal berkuasa  tinggi, 102 buah motosikal di bawah 250cc dan masing-masing sebuah van dan lori.

Dalam operasi yang bermula 6 pagi hingga 1 tengah hari itu, beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 1,203 notis atas pelbagai kesalahan.

"Ops Khas ini melibatkan kerjasama JPJ Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat, dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan. Seramai 183 anggota JPJ digerakkan dengan tumpuan penguatkuasaan di LPT1 melibatkan laluan Gombak hingga Karak," katanya.

Sementara itu, Muhammad Kifli memberi amaran tegas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan drastik termasuk sitaan kenderaan, sama ada motosikal mahupun kereta mewah, sekiranya didapati melanggar undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan