WILAYAH - UTARA > BERITA

REMAJA LELAKI 18 TAHUN MAUT, TUJUH CEDERA KEMALANGAN LAPAN MOTOSIKAL DI LEBUHRAYA BKE

25/01/2026 06:43 PM

BUKIT MERTAJAM, 25 Jan (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lapan motosikal di Kilometer 8.2 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) arah Kulim awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 3.30 pagi yang berlaku di laluan kereta.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua lapan motosikal berkenaan sedang bergerak dari Seberang Jaya menghala ke Kulim. 

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal dipercayai telah bergesel sesama sendiri menyebabkan penunggang hilang kawalan sebelum terbabas dan mengakibatkan motosikal lain berlanggar antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Helmi berkata pelanggaran itu mengakibatkan seorang penunggang terjatuh ke bahu kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang jalan yang memisahkan lorong motosikal dan lorong kereta.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian serta mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

“Tujuh lagi penunggang berusia antara 18 hingga 22 tahun dirawat di hospital sama selepas mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki,” katanya.  

Helmi berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan