WILAYAH - SARAWAK > BERITA

APG 2025: PELABURAN JANGKA PANJANG ATLET MUDA 'ANGKAT' MALAYSIA DI THAILAND - MSN

26/01/2026 05:54 PM

NAKHON RATCHASIMA, 26 Jan (Bernama) -- Keberanian Malaysia memberikan kepercayaan kepada generasi muda mula membuahkan hasil apabila pendekatan itu menjadi antara pemacu utama lonjakan prestasi kontinjen negara yang menamatkan kempen di kedudukan ketiga pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata strategi berteraskan pembangunan jangka panjang itu menjadi asas kepada peningkatan ketara prestasi Malaysia berbanding edisi terdahulu, selari dengan perancangan awal ke arah APG Malaysia 2027.

“Sejak awal lagi, saya bersama Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman sepakat untuk memberi pendedahan lebih awal kepada atlet muda supaya mereka benar-benar bersedia menghadapi APG Malaysia 2027,” katanya pada sidang media rumusan prestasi kontinjen Malaysia di sini hari ini.

Jefri berkata 42 peratus daripada keseluruhan atlet Malaysia di Thailand berusia bawah 25 tahun, diikuti 45 peratus atlet berusia bawah 39 tahun manakala 13 peratus lagi terdiri daripada atlet senior berumur lebih 40 tahun.

Beliau berkata komposisi itu mencerminkan peralihan generasi yang sedang berlaku secara terancang dengan pengalaman atlet senior terus dimanfaatkan sebagai tunjang bimbingan dan pemangkin kematangan bakat muda negara.

Mengulas pencapaian individu, Jefri berkata sukan renang menyerlah apabila dua atletnya dipilih sebagai atlet terbaik kontinjen negara pada temasya berkenaan.

“Contohnya dalam sukan renang kita telah pilih dua orang atlet terbaik iaitu Abd Halim Mohammad yang telah merangkul lima pingat emas dalam pelbagai acara, satu perak dan satu gangsa. 

“...manakala atlet wanita terbaik dari sukan renang, Carmen Lim yang berpangkalan di luar negara dengan dua pingat emas, empat perak dan satu gangsa dengan mereka ini merupakan aspirasi kepada atlet-atlet lain untuk menunjukkan lebih banyak kejayaan pada temasya akan datang,” katanya.

Jefri bagaimanapun berkata olahraga muncul sebagai penyumbang terbesar kontinjen negara dengan kutipan 20 pingat emas, 22 perak dan 23 gangsa, diikuti renang yang menyumbang 13 emas, 20 perak dan 22 gangsa.

Sukan berbasikal (trek dan lebuh raya) pula menghadiahkan sembilan emas diikuti tenpin boling dengan enam emas serta powerlifting yang menyumbang lima emas.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 15 rekod kejohanan berjaya dicipta sepanjang temasya itu, sekali gus menjadi petunjuk jelas keupayaan atlet negara untuk mempamerkan prestasi terbaik ketika berada di pentas utama.

Bagaimanapun, Jefri mengakui masih terdapat beberapa sukan belum mencapai sasaran ditetapkan dan memerlukan penambahbaikan khususnya dari segi kepakaran teknikal serta pendedahan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya perancangan awal ke arah APG Malaysia 2027 telah pun dimulakan termasuk penganjuran bengkel pemilihan atlet dan penyusunan program jangka panjang dengan kem fasa pertama dijadualkan April ini.

Malaysia menamatkan kempen APG 2025 dengan kutipan 64 pingat emas, 64 perak dan 73 gangsa (201 pingat) untuk berada di tangga ketiga keseluruhan, sekali gus membaiki kedudukan berbanding tempat keempat pada edisi Kemboja 2023.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan