WILAYAH - SABAH > BERITA

LABUAN LANCAR LOJI JANA KUASA GAS BAHARU, PERKUKUH KETERJAMINAN TENAGA

27/01/2026 01:50 PM

LABUAN, 27 Jan (Bernama) -- Rancha Power Sdn Bhd hari ini mencatat satu pencapaian penting dalam pembangunan tenaga di Labuan menerusi majlis pecah tanah pembinaan loji jana kuasa berasaskan gas baharu berkapasiti 120 megawatt (MW).

Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Fadillah berkata projek berkenaan penting bagi menjamin keterjaminan bekalan elektrik di Labuan.

“Loji ini direka untuk penjanaan fleksibel dengan margin rizab yang mencukupi, sekali gus membolehkan bekalan elektrik yang boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan sektor kediaman, komersial dan perindustrian di seluruh pulau,” katanya.

Petronas berkata loji jana kuasa itu akan dibangunkan di dalam Estet Perindustrian Rancha-Rancha, kira-kira dua kilometer dari Stesen Janakuasa Patau-Patau, yang kini menjadi sumber utama bekalan elektrik Labuan dan dijadualkan menamatkan operasi pada 31 Dis, 2027.

“Loji jana kuasa Rancha ini akan memastikan kesinambungan bekalan elektrik serta menyokong keperluan tenaga masa depan Labuan merangkumi sektor kediaman, komersial dan perindustrian,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Rancha Power Abdul Aziz Othman berkata pembinaan loji jana kuasa tersebut merupakan langkah transformatif dalam memperkukuh daya tahan tenaga Labuan serta menyokong pembangunan serantau.

“Selain meningkatkan keterjaminan tenaga, projek ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di zon perindustrian sekitarnya, memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, serta mempercepat pembangunan keupayaan industri tempatan,” katanya pada majlis pecah tanah itu.

Beliau berkata projek berkenaan turut mengukuhkan peranan Rancha Power dalam memajukan infrastruktur tenaga Labuan dan menyokong agenda peralihan tenaga negara secara lebih menyeluruh.

Ini sekali gus membuka laluan ke arah sistem tenaga yang lebih boleh dipercayai dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan bagi pulau itu, katanya.

Rancha Power merupakan usaha sama tiga pihak membabitkan PG Energia Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Gas Bhd; SEC Power Sdn Bhd, unit Sabah Energy Corporation Sdn Bhd; serta Sustainable Power Sdn Bhd, anak syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd.

Pembinaannya dijadualkan bermula pada Februari 2026, dengan operasi komersial disasarkan bermula pada 1 Jan, 2028.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan