WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIDAK PERLU TUNGGU KERJA, INDUSTRI KRITIKAL SENTIASA REBUT GRADUAN TVET

28/01/2026 10:24 AM

Oleh Ummu Khalidah Hamzah

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Landskap pekerjaan negara kini memperlihatkan perubahan ketara apabila Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak lagi dianggap sebagai pilihan kedua sebaliknya muncul sebagai laluan kerjaya strategik dan pilihan utama, selari dengan keperluan industri semasa.

Perkara ini didorong oleh permintaan industri yang semakin tinggi terhadap tenaga mahir, khususnya dalam sektor kritikal seperti penyelenggaraan pesawat dan kenderaan, yang bukan sahaja memerlukan pengetahuan secara teori malah menuntut kemahiran teknikal khusus serta latihan praktikal yang kompleks.

Pensyarah dan Pengurus Kualiti Bahagian Penerbangan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam Ahmad Zulhisham Abdul Wahab berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET menunjukkan peningkatan saban tahun, sekali gus membuktikan bidang itu semakin relevan dan diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

“Berdasarkan rekod ADTEC, hampir 99 peratus graduan kami mendapat pekerjaan dalam tempoh singkat selepas tamat pengajian.

“Lebih membanggakan berdasarkan rekod cemerlang graduan dalam industri, terdapat syarikat besar sudah mula ‘mengunci’ pelajar seawal semester lima dan enam sebelum mereka tamat pengajian,” katanya ketika ditemui Bernama di ADTEC Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Mengulas modul pendidikan TVET, Ahmad Zulhisham berkata pelajar dalam bidang  penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), khususnya penyelenggaraan pesawat bukan sahaja didedahkan kepada pengetahuan bersifat teori malah lebih banyak mengikuti latihan secara amali atau praktikal. 

“Latihan praktikal menggunakan pelbagai jenis pesawat dan helikopter sebenar memberi kelebihan kepada pelajar untuk memahami persekitaran kerja sebenar, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka apabila melangkah ke alam pekerjaan.

“Dalam tempoh tiga tahun pengajian, pelajar berpeluang memperoleh tiga sijil penting serentak iaitu Diploma Teknologi daripada Jabatan Tenaga Manusia, Diploma Kemahiran Malaysia Tahap Empat daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran serta lesen Juruteknik Penyelenggaran Pesawat Kategori A yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.

Menurut beliau, skop kerjaya graduan TVET juga tidak terhad kepada peringkat teknikal, sebaliknya boleh berkembang hingga ke tahap jurutera bergantung kepada pengalaman dan kemajuan kerjaya, termasuk berpeluang berkhidmat dalam sektor keselamatan seperti Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus) Universiti Kuala Lumpur-Malaysia France Institute (UniKL MFI) Dr Siti Norhafiza Abdul Razak berkata stigma bahawa TVET merupakan bidang kelas kedua atau ‘tidak laku’ perlu dihapuskan sepenuhnya.

Beliau berkata graduan TVET mempunyai nilai tinggi dan amat diperlukan oleh industri, buktinya kadar kebolehpasaran graduan bidang itu di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencecah 99.7 peratus dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas tamat pengajian.

Sehubungan itu, beliau menyarankan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cenderung kepada pembelajaran berasaskan kemahiran praktikal supaya menjadikan TVET sebagai pilihan utama laluan kerjaya, bukan sahaja kerana peluang pekerjaan yang lebih terjamin malah sebagai medium untuk meningkatkan kualiti hidup dan mobiliti sosial pada masa hadapan.

“Kita perlu menolak persepsi bahawa TVET ini kelas kedua atau kemahiran seperti kimpalan hanya sesuai untuk kerja-kerja kecil, walhal banyak sektor termasuk bidang kritikal memerlukan pekerja kimpalan yang berkemahiran selain menawarkan struktur gaji jauh lebih tinggi berbanding sektor lain.

“Di UniKL sendiri, modul dan latihan kimpalan dibangunkan secara khusus untuk memenuhi keperluan industri berskala besar dan kompleks seperti minyak dan gas yang memerlukan petugas berkemahiran tinggi dan mampu melaksanakan tugas dengan tepat dan berkualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Belia Mahir yang juga Ahli Majlis TVET Negara Mohammad Rizan Hassan berkata isu persepsi masih menjadi penghalang utama kepada perkembangan TVET di negara ini.

Beliau berkata apabila TVET terus dilihat sebagai laluan kelas kedua, ramai belia berbakat dalam bidang teknikal tidak diberi peluang awal untuk berkembang, sekali gus menyumbang kepada kekurangan juruteknik dan teknologis tempatan.

“Keadaan ini mendorong kepada kebergantungan berterusan terhadap pekerja asing serta pembaziran potensi belia tempatan yang memiliki kemahiran praktikal tinggi tetapi tidak diberi pengiktirafan sewajarnya dalam ekosistem pendidikan dan pasaran pekerjaan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Rizan berkata dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) hanya akan mencapai matlamatnya sekiranya diterjemahkan secara praktikal melalui latihan TVET yang selari dengan keperluan industri.

Beliau berkata sistem TVET perlu sentiasa dikemas kini bagi menghadapi peralihan teknologi global seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan tenaga hijau, selain menyediakan laluan peningkatan kemahiran yang fleksibel untuk tenaga kerja sedia ada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan