WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IWK JELASKAN CAJ SATU PERATUS KE ATAS PEMAJU ADALAH UNTUK SUMBANGAN KWSMP

28/01/2026 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Caj satu peratus daripada nilai hartanah yang dikenakan ke atas pemaju yang melakukan sambungan ke sistem pembetungan awam adalah untuk sumbangan kepada Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP).

Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dalam kenyataan memaklumkan sumbangan berkenaan diselia dan perlu dibayar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menyokong infrastruktur pembetungan negara.

Menurut kenyataan itu, IWK telah dilantik oleh SPAN sebagai Agensi Perakuan bagi Kelulusan Kerja-Kerja Pembetungan mengikut Seksyen 174 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) untuk semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, berkuat kuasa 1 Jan 2008.

“Di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pembangunan yang diluluskan untuk sambungan ke sistem pembetungan awam tertakluk kepada KWSMP.

"Kumpulan wang sumbangan yang diterajui kerajaan membiayai kerja-kerja penaiktarafan, peningkatan dan penyelenggaraan infrastruktur pembetungan negara. Ia mencerminkan kos penambahbaikan sistem pembetungan penting yang diperlukan untuk menyokong pembangunan mampan dan perlindungan alam sekitar," menurut kenyataan itu hari ini.

IWK memaklumkan KWSMP adalah sumbangan statutori bagi infrastruktur awam dan berasingan daripada caj perkhidmatan pembetungan yang dibayar oleh pelanggan kepada IWK.

Menurut syarikat pembetungan itu, keperluan berkenaan ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan) (Pindaan) 2025.

“IWK menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai hab pelaburan yang berdaya saing dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa, penyedia perkhidmatan utiliti, serta pihak berkepentingan industri bagi menangani kebimbangan kos sambil memastikan infrastruktur pembetungan awam yang mampan dan boleh dipercayai,” menurut kenyataan itu.

Penjelasan itu dikeluarkan sebagai respons kepada pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung di Dewan Rakyat mengenai kebimbangan dalam kalangan pelabur asing berhubung caj berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan