WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CENDERUNG BANJIR, IPOH MAHU KEMBALI KE ALAM SEMULA JADI SEBAGAI PENYELESAIAN

29/01/2026 05:05 PM


From Nina Muslim

Jam baru menunjukkan 10 pagi, namun matahari sudah tinggi di langit dengan bahang memeritkan, sementara sinaran teriknya ke permukaan tasik menghasilkan kilauan seakan helaian kaca yang beralun.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun menjerit keriangan tatkala tubuhnya meluncur di atas gelongsor plastik, diperhatikan oleh datuknya Ahmad Ramli Razali, 64 yang duduk tidak jauh. Di belakang mereka, hamparan rumput tinggi beralun dihembus bayu hangat. 

Jika datang lebih awal pada sebelah pagi atau lewat petang, suasananya berbeza. Pada waktu itu, akan kelihatan puluhan orang berjoging atau berjalan di laluan sejauh dua kilometer yang mengelilingi kolam takungan banjir di Taman Rekreasi MADANI Kolam Takungan Sungai Pinji atau Lembangan Span Sungai Pinji tersebut.

Namun sekarang, pada hari bekerja, hanya ada serangga dan burung-burung yang berkicau riuh serta beberapa orang “jogger” tegar.   

pic-2

Ahmad Ramli suka datang ke taman ini yang dibuka pada awal tahun lepas. Namun katanya, sambil menggeleng-gelengkan kepala, keadaan rumput yang panjang mencacatkan pemandangan. 

“Suka dengar (bunyi) burung-burung (yang) banyak... (boleh) tengok rama-rama. (Tapi) kalau rumput panjang macam ini, mana orang nak datang,” katanya kepada Bernama.

Sungutan itu tidak asing buat dua individu yang terlibat dalam reka bentuk serta perancangan taman: Meor Abdullah Zaidi Meor Razali, penyelidik di Institut Landskap Arkitek Malaysia, dan Ivan Fong Jeng Jong, pemilik Hijau Biru Landscape Architecture yang juga arkitek landskap projek itu.

Bagi mereka, rumput yang tumbuh tinggi itu bukan kerana tidak diselenggara.

“Orang awam nak semuanya kemas, potong rumput dan sebagainya. Akan tetapi, untuk konsep ini, kami biarkan rumput tumbuh tinggi secara semula jadi,” kata Meor Zaidi.

pic-3

Konsep tersebut yang dikenali sebagai “Nature-based Solutions” atau NbS, ialah penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi menangani isu iklim termasuk mencegah dan mengawal banjir.

Langkah itu bagaimanapun sukar difahami oleh kebanyakan pengunjung yang mengharapkan sebuah taman dengan landskap terjaga rapi. Secara tidak langsung, hal itu juga menjadikan taman tersebut sebagai tumpuan persoalan lebih besar dan mendesak yang didepani oleh Ipoh dan bandar-bandar besar di Malaysia:  bagaimana hendak meyakinkan orang awam bahawa kembali ke alam semula jadi adalah pendekatan terbaik dalam menangani bencana, sekalipun manfaatnya tidak dapat dilihat dengan serta-merta. 

 

INFRASTRUKTUR HIDUP  

Asalnya lombong bijih timah yang kemudian ditukar menjadi kolam takungan, tasik tersebut kini berperanan sebagai “infrastruktur hidup” yang berfungsi sebagai lembangan span bagi menguruskan air hujan lebat dan juga taman awam. Taman ini juga adalah antara kawasan hijau utama bagi Ipoh dan kawasan sekitar.

“Ipoh kian kehabisan kawasan hijau disebabkan oleh pembangunan, dan juga kerana orang mahu gunakan tanah untuk tujuan lain,” kata Meor Zaidi.

pic-5

Merupakan taman boleh ditenggelami air pertama di Perak, Lembangan Span Sungai Pinji terletak di Lembah Kinta, sebuah kawasan lembangan tanah rendah di antara Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Keledang.

Disebabkan oleh bentuk muka buminya, lembah ini memerangkap haba dan menerima hujan lebat. Apabila ribut melanda, bentuk muka bumi yang bercerun curam itu melorongkan air hujan dengan deras. Aktivis alam sekitar berkata akibatnya, paras air Sungai Kinta dan anak-anak sungainya meningkat dengan amat pantas, sekali gus menghasilkan banjir kilat dalam tempoh hanya beberapa jam.

Lazimnya, pihak berkuasa menangani masalah itu dengan langkah-langkah yang kelihatan munasabah seperti membina longkang konkrit, meluruskan laluan air dan memperdalam dasar sungai, dengan matlamat mengalihkan air secepat mungkin.

Walaupun langkah ini memberikan “kelegaan” buat seketika, dalam jangka panjang ia mewujudkan masalah baharu.

Aktivis alam sekitar Hafizudin Nasarudin memberitahu Bernama bahawa pengorekan sungai tidak menyelesaikan masalah banjir kerana tindakan itu hanya memburukkan lagi keadaan dasar sungai.

“Di dalam sungai ada banyak batu-batuan yang berperanan memperlahankan aliran air. Apabila air langar batu-batu ini, terbentuk riak-riak air, itu yang bagus. Kalau (sungai) tenang sangat, bermakna sedimen di dasar sungai itu hanya pasir,” jelasnya.

Jelas beliau, memperdalam dan meluruskan saluran air hanya melajukan aliran, mengurangkan peluang sungai melimpahi tebing dan tanah di kawasan sekitar menyerap air yang berlebihan itu. Arus deras juga menghakis tebing sungai dan menghasilkan lebih banyak sedimen yang dibawa arus ke hilir dan seterusnya berisiko menyekat sistem perparitan di kawasan tersebut.

Pendekatan NbS berbeza. Berbanding kaedah mengalirkan air dengan lebih cepat, NbS cuba memperlahankan aliran. Rumput-rumput yang panjang itu misalnya, membantu mengukuhkan tanah dan mengurangkan hakisan semasa banjir.

“(Jika berlaku hakisan), maka libatkan kos lagi. Kita perlu bina dinding penahan dan macam-macam. Jadi, ini cara penyelesaian berasaskan alam semula jadi. Kita biarkan alam semula jadi ‘pegang’ tumbuhan untuk ‘pegang’ bumi,” jelas Meor Zaidi. 

Satu lagi faedah menggunakan alam semula jadi ialah kos penyelenggaraan rendah, yang menurut pakar amat penting bagi kelestarian jangka panjang.

“Kami jangka cara ini lebih mampan dari segi mengurangkan penyelenggaraan, dan itu perbezaan penting antara penyelesaian kejuruteraan konvensional dan NbS,” kata Prof Madya Dr Sapura Mohamad, pakar etnobotani daripada Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

pic-4

Tambah beliau, satu lagi aspek NbS ialah kewujudan pokok asal serta tumbuh-tumbuhan di taman itu membantu mengurangkan bahang, iaitu satu kebimbangan yang kian meningkat berikutan kenaikan suhu global.

Menurut Berkeley Earth, suhu global meningkat secara konsisten dengan 2025 muncul sebagai tahun ketiga paling panas pernah direkodkan sejak 1850. Tahun paling panas ialah 2024 dengan suhu naik sebanyak 1.62 darjah Celsius, diikuti 2023 yang merekodkan 1.54 darjah Celsius. Angka-angka itu dibandingkan dengan suhu purata pada era praperindustrian dari 1850 hingga 1900.

Sapura yang juga Timbalan Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, bagaimanapun berkata untuk taman-taman tersebut memenuhi fungsinya, ia perlu membentuk satu rangkaian hijau.

Sehubungan dengan itu, kolam takungan Sungai Pinji dirancang bukan sekadar sebagai projek yang berdiri sendiri.

“Kebanyakan kawasan hijau di bandar-bandar besar Malaysia terpisah antara satu sama lain, dan kerana itulah kita mencadangkan agar kesemua taman tersebut dihubungkan,” kata Fong, dan menjelaskan bahawa tujuannya untuk membentuk koridor hijau yang berkesinambungan merentasi Ipoh. 

 

MUNGKIN SATU HARI NANTI

Kisah kejayaan NbS sebagai mitigasi banjir antaranya Benjakitti Forest Park di Bangkok, Thailand dan Hoboken di New Jersey, Amerika Syarikat. Pada 2022, semasa Bangkok mengalami hujan paling lebat dalam tempoh 10 tahun, taman itu menyerap lebihan air dan memastikan kawasan sekitar pusat daerah perniagaan berkenaan kekal kering ketika bahagian-bahagian lain di bandar raya tersebut mengalami banjir.

Fong memberitahu Bernama yang beliau selalu ke Lembangan Span Sungai Pinji sehari selepas hujan lebat bagi melihat keadaan lembangan span tersebut.

“Bahagian yang boleh ditenggelami air itu sebenarnya sudah berfungsi. Setakat ini, selepas hujan lebat, kami dapat melihat air meresap ke dalam tanah,” katanya.

Namun, di sebalik bukti yang semakin kukuh dan ikrar berulang kali kerajaan terhadap kelestarian, Lembangan Span Sungai Pinji berisiko menjadi apa yang dirujuk perancang sebagai “infrastruktur terbiar” - satu idea berpotensi namun gagal direalisasikan sepenuhnya.

Fasa dua projek dijangka siap menjelang 2030, namun hingga kini kerja-kerja belum lagi bermula.

pic-6

“(Lembangan span itu tidak mengurangkan banjir di kawasan lain) kerana ia belum lagi bersambung,” kata Fong, menambah cabarannya ialah pembiayaan.

Tanpa pelaburan lanjut, kemungkinan besar kolam takungan itu tidak dapat memanfaatkan kapasiti simpanannya atau disepadukan sepenuhnya dengan sistem sungai di sekitarnya. Taman tersebut juga berisiko menjadi satu intervensi terpencil dalam kawasan tadahan yang terus mengalami perbandaran di bahagian hulu.

Sandra Ng, exco kerajaan negeri Perak yang bertanggungjawab ke atas Pihak Kerkuasa Tempatan (PBT), tidak dapat dihubungi setakat ini untuk mendapatkan ulasan.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan kepada Bernama melalui WhatsApp bahawa pembangunan menggunakan NbS bukan keutamaan buat masa ini.

“Untuk makluman, pelaksanaan semasa MBI masih belum menerapkan elemen NbS.

“Skop pembangunan sedia ada lebih tertumpu pada menangani aduan awam dan permohonan,” menurut organisasi itu.

Menurut PBT itu lagi, kaedah berkenaan juga lazimnya dijalankan oleh syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

Ketika Meor Zaidi dan Fong berbincang tentang aduan orang awam, seekor biawak besar muncul dari bawah rimbunan semak-samun, merangkak perlahan melintasi laluan pejalan kaki sebelum meluncur masuk ke dalam kolam. Tidak ubah seperti seekor komodo versi mini.

“Orang ramai sukakan alam semula jadi, tetapi mereka cuma suka bahagian yang cantik,” kata Fong.

Sapura bersetuju. 

“(Untuk melaksanakan NbS), kita perlu pilih tumbuhan yang tepat, yang dapat membentuk biodiversiti, membawa kedatangan rama-rama, lebah. Namun orang Malaysia kadang-kadang tidak suka hidupan liar,” katanya.

Isu ini bukan asing bagi mereka yang bekerja di kawasan hijau bandar. Penduduk mahu suhu lebih sejuk, udara lebih bersih dan perlindungan daripada banjir, tetapi enggan menerima kehadiran ular, biawak, rumput yang tidak terjaga ataupun serangga.

pic-7

Hafizudin yang juga Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA), berkata penglibatan masyarakat amat penting jika mahu memastikan kejayaan projek seperti Sungai Pinji. Orang ramai perlu memahami bukan sahaja fungsi taman, tetapi juga mengapa ia direka sedemikian rupa serta sebab mereka wajar berasa bangga dengan taman itu.

Beliau mencadangkan agar papan tanda bermaklumat dipasang bagi menerangkan ciri-ciri taman tersebut serta fungsi kolam dan lembangan span, termasuk bagaimana air masuk, disimpan dan dilepaskan, serta peranan haiwan, tumbuhan dan tanah dalam proses berkenaan.

“Jangan sekadar melarang. Beritahu orang ramai sebabnya,” katanya sambil melontarkan pandangan sinis ke arah papan tanda yang memberi amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan perbuatan tidak wajar di ruang awam. 

(Laporan ini diterbitkan sebagai sebahagian daripada “PANAS! Climate Change Stories in Malaysia”, satu inisiatif di bawah Science Media Centre Malaysia, dengan Kerjasama WWF-Malaysia, dan disokong oleh British Council Alumni UK Climate Action Grant.)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan