KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan harapan agar Program Ilham Seni Diraja menjadi platform penting bagi anak-anak muda daripada golongan B40 untuk mengembangkan bakat dan potensi diri mereka dalam bidang seni dan budaya.
Dalam titah ucapan pada majlis pelancaran program itu, Seri Paduka Baginda menekankan bahawa inisiatif berkenaan memberikan ruang kepada belia untuk meneroka minat serta hobi yang bermanfaat, terutama bagi mereka yang mungkin tidak cemerlang dalam akademik, tetapi cenderung kepada bidang kesenian.
“Saya percaya ramai yang mempunyai bakat terpendam, namun tidak berpeluang mengetengahkannya. Dengan peluang bertemu dan dimentorkan oleh penggiat seni berpengalaman melalui Program Ilham Seni Diraja, diharapkan anak-anak muda akan menemui tujuan yang positif untuk diberi tumpuan secara membina, serta mendapat inspirasi tentang pencapaian yang boleh diraih pada masa hadapan.
“Generasi muda juga harus mewarisi dan meneruskan budaya seni kita, sama ada muzik, tarian atau cabang kesenian lain. Bagi sesetengah daripada mereka, peluang bertemu dengan penggiat seni mungkin sukar diperoleh, maka Program Ilham Seni Diraja menjadi saluran penting untuk memberikan pendedahan,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah berharap program itu dapat menjadi wadah menyemai perpaduan, membina personaliti positif generasi muda, serta membuka laluan masa depan yang lebih baik bagi anak-anak B40 yang terpinggir.
Turut berangkat Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan kebimbangan berhubung isu kesihatan mental dalam kalangan golongan B40, yang lebih mudah terdedah akibat kekangan mendapat sokongan dan bantuan sewajarnya.
“Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, sebanyak 163,709 individu telah mendapat sokongan kesihatan mental secara dalam talian sejak 2022 hingga akhir tahun lepas, menunjukkan peningkatan kesedaran serta keperluan perhatian khusus oleh pihak berwajib.
“Kesan jangka panjang akibat kesihatan mental yang tidak baik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja amat membimbangkan kerana boleh menjejaskan kesejahteraan diri mereka dan masa depan negara. Tekanan persekitaran masa kini, termasuk penggunaan media sosial secara tidak sihat, berpotensi mendedahkan golongan muda kepada pengaruh negatif jika tidak dikawal,” titah Seri Paduka Baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial