WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERMINTAAN KARGO UDARA ASIA PASIFIK NAIK 8.4 PERATUS PADA 2025, TERAJU PRESTASI GLOBAL -- IATA

29/01/2026 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului prestasi global pada 2025, dengan permintaan kargo udara, yang diukur dalam kargo tan kilometer (CTK), naik 8.4 peratus dari tahun ke tahun selepas disokong oleh majoriti laluan utama, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Disember 2025 menyaksikan syarikat-syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan pertumbuhan 9.4 peratus dari tahun ke tahun, disokong oleh permintaan e-dagang akhir tahun dan perdagangan serantau yang berdaya tahan, seterusnya, mengukuhkan peranan rantau ini sebagai peneraju pertumbuhan utama industri tersebut.

Di peringkat global, permintaan kargo udara meningkat 3.4 peratus dari tahun ke tahun pada 2025 dan berkembang 4.3 peratus dari tahun ke tahun menjelang Disember 2025.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kekuatan e-dagang global telah memacu volum, walaupun hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) berhadapan dengan cabaran kenaikan tarif, pemansuhan dasar pengecualian dan ketidaktentuan dasar yang berpanjangan. 

"Kargo udara terus meningkat, menyesuaikan diri dengan cepat bagi menyokong perniagaan global dan rantaian bekalan kerana mereka telah memuatkan penghantaran produk sebelum pengenaan tarif selain diselaraskan dengan peningkatan permintaan dalam Asia dan antara Asia serta Eropah apabila perdagangan AS-Asia terganggu," katanya.

Melangkah ke hadapan, Walsh berkata pertumbuhan pada 2026 dijangka menyederhana sedikit kepada 2.4 peratus, sejajar dengan arah aliran sejarah. 

"Kita boleh menjangkakan bahawa permintaan akan terus dibentuk oleh perdagangan dan perkembangan geopolitik. 

"Walau apa pun corak perdagangan yang muncul, kami boleh yakin bahawa pergantungan pada kargo udara untuk memastikan rantaian bekalan global akan tetap berjalan, dengan syarikat-syarikat penerbangan menyahut cabaran dengan menggunakan kapasiti dan membentuk semula rangkaian mereka untuk fleksibiliti optimum," katanya lagi.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan