GEORGE TOWN, 30 Jan (Bernama) --Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kertas siasatan itu dibuka susulan pendedahan dibuat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung tahun lalu.
“Pasukan siasatan telah hadir ke beberapa pejabat yang disyaki terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan kesemua bahan itu kini dalam proses penelitian.
“Selain itu, SPRM turut merakamkan percakapan dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata pihaknya telah merakamkan percakapan dua individu selain mengunjungi beberapa pejabat agensi terbabit semalam dan hari ini bagi mendapatkan dokumen bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid ketika dihubungi berkata MAINPP dan Zakat MAINPP memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
“MAINPP dan Zakat MAINPP memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan yang dijalankan oleh SPRM dan semua maklumat yang diperlukan telah disalurkan,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial