WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GAGAL BAYAR CUKAI RM15 JUTA, LELAKI DIISYTIHAR BANKRAP

30/01/2026 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Seorang individu diisytiharkan bankrap selepas gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM15 juta bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Perintah itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Sayyid Shah Abdullah, 51, selaku penghutang penghakiman, untuk menggantung prosiding kebankrapan yang difailkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman.

Peguam Hasil Qhistina Mohd Apandi, yang mewakili kerajaan, berkata prosiding kebankrapan itu difailkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 April 2022 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Sayyid Shah berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM14,463,166.14 bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

“Tunggakan ini termasuk kenaikan cukai yang telah menjadi terhutang dan perlu dibayar kepada Kerajaan Malaysia. Prosiding kebankrapan ini dimulakan sejak 27 Jan 2023 melalui pemfailan notis kebankrapan dan berlarutan selama beberapa tahun susulan pelbagai permohonan yang difailkan.

“Akhirnya, mahkamah mengisytiharkan perintah kebankrapan terhadap Sayyid Shah,” katanya kepada media hari ini.

Semalam, prosiding itu dijalankan di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norbert Liew Chee Vui, yang turut dihadiri peguam Lee Teong Hooi, mewakili Sayyid Shah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan