WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GPS FOKUS BANTU RAKYAT, TARIKH PILIHAN RAYA BUKAN KEUTAMAAN - FADILLAH

31/01/2026 02:25 PM

KUCHING, 31 Jan (Bernama) -- Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberikan tumpuan kepada usaha membantu dan berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira soal tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak seterusnya akan diadakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Ketua Whip GPS berkata gabungan itu tidak bekerja semata-mata ketika menghadapi pilihan raya, sebaliknya berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa.

“Kita lihat pilihan raya itu sebagai satu cara kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk menilai tahap kerja kita selama ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini yang dilaporkan berkata Sarawak dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri pada tahun ini.

Fadillah berkata Pilihan Raya Negeri Sarawak boleh diadakan pada bila-bila masa termasuk pada tahun ini kerana tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada Februari 2027.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 diadakan pada 18 Dis 2021.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan