WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GAS METANA DIKESAN DI TAPAK PESTA KAUL OYA, JBPM SYOR DITUTUP SEGERA

31/01/2026 08:38 PM

SIBU, 31 Jan (Bernama) -- Semua lubang gerudi dan tebukan di Tapak Pesta Kaul Oya, Mukah perlu ditutup atau ditimbus sepenuhnya susulan kehadiran gas mudah terbakar jenis metana di lokasi tersebut. 

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah tersebut perlu diambil segera sekiranya lokasi itu hendak dibuka kepada orang awam.

“Sebanyak tiga bacaan tahap gas telah diambil dengan menunjukkan bacaan LEL (Lower Explosive Limit) antara 90 peratus hingga 100 peratus yang merupakan tahap risiko tinggi.

“Bacaan LEL berada pada paras normal apabila lubang gerudi ditutup, namun bacaan meningkat apabila lubang gerudi tersebut dibuka,” menurut JBPM. 

Menurut kenyataan itu, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) mengesyorkan kawasan berkenaan ditutup dan mana-mana lokasi yang mempunyai lubang gerudi atau tebukan hendaklah ditutup atau ditimbus sepenuhnya sekiranya kawasan tersebut ingin dibuka kepada orang awam.

“Pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan selagi lubang gerudi belum ditimbus sepenuhnya bagi mengelakkan risiko keselamatan,” menurutnya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan