WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PDRM, AGC TELITI KAEDAH TANGANI PELANGGARAN UNDANG-UNDANG ISU 3R - KPN

01/02/2026 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mencari mekanisme terbaik menangani isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang dilihat semakin berleluasa di media sosial.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata keterbukaan melampau di platform media sosial menyebabkan segelintir pihak bebas melemparkan komen sehingga melangkaui batas undang-undang negara.

"Isu yang berkaitan dengan perkauman, agama, hasutan dan sebagainya memang berlarutan. Inilah perkara yang sering kita bincangkan dengan pihak Peguam Negara, kaedah untuk kita mengatasi masalah itu.

"Media sosial ini begitu terbuka, jadi semua orang ingin membuat komen sehingga ke satu tahap mereka kadangkala melangkaui undang-undang kita yang memerlukan tindakan dari sudut perundangan itu sendiri," katanya selepas program kepolisian komuniti "Thaneer Panthal" PDRM di kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini hari ini.

Mengulas tentang perkembangan penahanan bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT) Rex Tan, beliau berkata kertas siasatan dijangka diserahkan kepada pihak AGC dalam tempoh terdekat.

Mohd Khalid berkata setakat ini, polis telah merakamkan percakapan lima saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Bergantung pada unit siasatan, mungkin kita memerlukan saksi-saksi lain untuk tindakan lanjut," katanya.

Tan, 31, ditahan susulan soalan kontroversi yang dibangkitkan dalam satu wacana awam baru-baru ini, membabitkan perbandingan antara situasi di Palestin dengan layanan terhadap komuniti Cina di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan isu 3R, polis sebelum ini turut memanggil dua pegawai kanan sebuah syarikat media berbahasa Cina bagi membantu siasatan berhubung terjemahan salah titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan hantaran yang dikesan pada 19 Jan lepas.

Mohd Khalid berkata polis akan terus memantau dan mengambil tindakan secara berperingkat terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegentaran awam melalui manipulasi isu sensitif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan