WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MASJID JAMEK CINA MUSLIM KLANG TARIK 55,000 PENGUNJUNG, TINGKAT PELANCONGAN ISLAM

02/02/2026 11:13 AM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KLANG, 2 Feb (Bernama) -- Walaupun terletak di kawasan yang hanya kira-kira 15 peratus penduduknya beragama Islam, Masjid Jamek Cina Muslim Klang di Taman Desawan Dua, di sini muncul sebagai pemangkin baharu pelancongan Islam di Selangor.

Dibina di atas tanah seluas 1.2 hektar, masjid itu bukan sahaja memenuhi keperluan ibadah jemaah setempat, tetapi juga menjadi destinasi persinggahan bagi pelawat tempatan dan antarabangsa yang ingin mengenali Islam melalui seni bina, warisan dan keterbukaan komuniti.

Imam masjid, Adlu Kan Yong Sheng, 31, berkata keunikan seni bina tradisional Cina yang ditonjolkan masjid itu termasuk eleman bumbung melengkung dan menara pagoda tiga tingkat yang diinspirasikan daripada Masjid Besar Xi'an di China, menyumbang kepada daya tarikan pelancongan.

Beliau berkata reka bentuk yang turut dilengkapi landskap taman serta kolam ikan koi, menjadikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang sebagai masjid pertama di Selangor yang menampilkan seni bina seumpamanya, sekali gus menarik minat pelancong daripada pelbagai latar belakang.

“Permintaan pembinaan masjid bermula daripada Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Datuk Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin dan mendapat inspirasi serta perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memberikan perhatian khusus terhadap konsep serta reka bentuk bangunan sebagai lambang keharmonian budaya.

“Bagi memastikan keaslian seni bina tersebut, Sultan Sharafuddin menitahkan satu lawatan kajian ke China diadakan bagi meneliti beberapa masjid bersejarah sebelum reka bentuk akhir dipilih dan diperkenankan,” katanya kepada Bernama.

Adlu berkata pembinaan masjid yang bermula pada penghujung 2019 berdepan cabaran apabila pandemik COVID-19 melanda negara, menyebabkan penangguhan kerja dan kekangan logistik, namun projek itu akhirnya berjaya disiapkan sehingga masjid mula beroperasi pada Ogos 2024.

Sejak beroperasi, masjid itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 55,000 pelawat tempatan dan antarabangsa direkodkan setakat Disember tahun lepas, termasuk lawatan institusi dari Australia, Perancis, Jerman dan Jepun.

Beliau berkata ruang solat utama masjid mampu menampung kira-kira 350 jemaah pada satu-satu masa, dengan kapasiti boleh diperluas hingga 1,000 orang, sekali gus membolehkan masjid menganjurkan program berskala besar termasuk aktiviti berkaitan pelancongan Islam. 

Dari segi struktur, katanya hampir keseluruhan bahan binaan diperoleh daripada pembekal tempatan, kecuali beberapa elemen utama seperti bumbung dan batu granit diimport dari China bagi mengekalkan elemen seni bina tradisional yang asli, sekali gus meningkatkan nilai warisan dan estetika pelancongan.

“Seni bina masjid ini menarik pengunjung muda dan peminat fotografi, yang seolah-olah membawa mereka ke zaman cerita kuno atau filem kung fu, jadi ramai datang untuk bergambar, merakam video atau sesi fotografi perkahwinan dan graduasi.

“Malah, ada pengunjung yang berpakaian tradisi Cina Muslim datang khas untuk mengambil gambar di taman masjid,” katanya. 

Turut menarik perhatian ialah galeri seni Islam yang menempatkan koleksi berharga dari China, termasuk 30 labu air ukiran tangan, masing-masing mengandungi satu juzuk al-Quran, selain manuskrip serta terjemahan al-Quran dalam bahasa Mandrin, yang menjadi medium pendidikan dan dakwah.

Adlu berkata kewujudan kafeteria di pekarangan masjid yang menawarkan hidangan tradisional Cina seperti mi tarik, dim sum dan pau turut melengkapkan pengalaman pelawat, di samping pihaknya merancang program masakan untuk mengajar komuniti menyediakan hidangan halal Cina.

Beliau berkata perkara itu sekali gus memperluas peranan masjid yang tidak hanya dilihat sebagai tempat ibadah, tetapi juga ruang pendidikan dan tarikan budaya yang menghubungkan komuniti tempatan dengan pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

Pada 5 Dis 2024, Sultan Sharafuddin berkenan merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang dan menzahirkan harapan agar pembinaan masjid itu di samping rumah ibadat lain di kawasan sekitar, bukan sahaja dapat menjadi lambang perpaduan malah sebagai mercu tanda dan pusat tarikan pelancongan utama di Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan