KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Bernama) -- Sebanyak 121 kes pembakaran terbuka direkodkan di Terengganu dalam tempoh 1 hingga 31 Januari tahun ini berbanding hanya 12 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Nor Mahathir Muhamad berkata peningkatan kes yang melebihi 900 peratus itu agak membimbangkan kerana dikhuatiri menyebabkan kes kebakaran teruk seperti yang sedang berlaku di beberapa negeri termasuk Johor.
Beliau berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 120 kawasan yang kerap dan berpotensi berlaku kebakaran di seluruh negeri, terutama di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
"Hotspot (kawasan kerap berlaku dan berpotensi kebakaran) ini kita dapatkan juga dari jabatan yang berkenaan untuk pemantauan secara berkala demi memastikan pencegahan awal.
"Di Terengganu kes kebakaran masih terkawal, cuma kita mohon supaya masyarakat tidak meneruskan pembakaran sesuka hati kerana dikhuatiri berlaku sesuatu yang lebih buruk," katanya pada Perhimpunan Tahunan Peringkat JBPM Negeri Terengganu Tahun 2026 di Pejabat Bomba Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil media, orang awam dan jabatan yang turut memberikan sumbangan kepada gerak kerja JBPM.
Dalam pada itu, Nor Mahathir berkata jumlah panggilan palsu yang diterima juga meningkat, iaitu daripada 10 kes pada 2024 kepada 26 kes pada 2025.
Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak itu bukan sahaja membazirkan sumber dan masa, malah berpotensi menjejaskan keupayaan JBPM untuk memberi respons kepada kes kecemasan sebenar yang melibatkan nyawa dan harta benda.
"Bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan orang awam, JBPM telah melaksanakan 1,949 aktiviti berbentuk ceramah, demonstrasi kebombaan, pengurusan bangunan dan Emergency Response Team (ERT) yang melibatkan 267,574 peserta pada tahun lepas.
"Kita harap program ini dapat melahirkan masyarakat yang cakna tentang aspek keselamatan sekeliling," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial