ALOR SETAR, 3 Feb (Bernama) -- Polis mereman seorang lelaki berusia 28 tahun yang merupakan suspek utama kes penemuan mayat seorang wanita dengan kesan tikaman disyaki dibunuh di sebuah rumah di Jalan Tanjung Bendahara di sini, semalam.
Perintah reman tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali dalam kenyataan hari ini berkata suspek ditahan pada 8.34 malam tadi oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Kota Setar.
"Suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita berusia 52 tahun yang berlaku di sebuah kawasan perumahan di sini.
"Suspek ditahan ketika sedang menaiki sebuah bas persiaran di Kilometer 441.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan," katanya.
Syed Basri berkata hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing didapati negatif.
Dalam kejadian pagi semalam, Zahrullail Basir, 52, ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman pada bahagian badan termasuk perut serta kesan luka pada kepala dan tapak tangan, di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara di sini.
Mangsa yang merupakan eksekutif operasi sebuah bank, tinggal bersama tiga anaknya dan siasatan awal mendapati beg tangan mengandungi telefon bimbit, wang tunai dan barang kemas telah hilang.
Dalam pada itu, Syed Basri berkata kerjasama orang ramai amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.
"Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar dan mereka boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan serta dikenakan hukuman sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial