WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH TINGGI TETAPKAN 21 MEI KEPUTUSAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG INDIRA GANDHI

03/02/2026 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Mei bagi keputusan berhubung saman pemula (OS) yang difailkan oleh M. Indira Gandhi dan 13 yang lain untuk mencabar kesahihan undang-undang negeri berkaitan penukaran agama secara unilateral.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Mahkamah menetapkan 21 Mei pada 2.30 petang untuk menyampaikan keputusan melalui Zoom," katanya.

Indira dan 13 yang lain sebagai plaintif, memfailkan saman pemula pada Mac 2023, untuk membatalkan penukaran agama secara unilateral di enam negeri yang melibatkan Kerajaan Negeri Johor, Perlis, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak, serta Wilayah Persekutuan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bertindak sebagai pencelah dalam saman pemula itu.

Terdahulu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili plaintif berhujah bahawa kegagalan defendan untuk menyediakan sebarang justifikasi menunjukkan bahawa undang-undang negeri yang membenarkan penukaran agama secara unilateral bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, tidak konsisten dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan dan kuasa Mahkamah Persekutuan yang ditetapkan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi yang mewakili Wilayah Persekutuan berhujah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada 2018, tidak boleh dianggap sebagai kuasa yang mengikat bagi menyokong prinsip bahawa Seksyen 106 Enakmen Perak dan peruntukan antara negeri termasuk Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) [Akta 505], tidak berperlembagaan.

"Seksyen 95 Akta 505 dilindungi oleh andaian Perlembagaan yang kukuh. Andaian ini berdasarkan pengiktirafan bahawa badan perundangan pada asasnya dianggap memahami keperluan rakyat," katanya.

Peguam Danial Farhan Zainul Rijal yang mewakili MAIWP pula berhujah bahawa plaintif kekurangan locus standi yang diperlukan untuk mengekalkan tindakan ini kerana plaintif gagal menunjukkan sebarang rungutan atau kecederaan diri yang sebenar.

"Oleh itu, penggunaan bidang kuasa mahkamah ini bukanlah untuk tujuan sebenar mendapatkan remedi terhadap suatu kesalahan yang dilakukan terhadap mereka, sebaliknya untuk tujuan sampingan bagi mencabar kesucian Enakmen Negeri dan hukum syarak secara abstrak," katanya.

Seorang lagi peguam mewakili MAIWP, Arham Rahimy Hariri berhujah bahawa cabaran plaintif bersifat akademik semata-mata kerana tiada matriks fakta yang mengaitkan mereka dengan kemudaratan atau sebarang kesan buruk yang terbukti dalam afidavit mereka tentang peruntukan yang dipertikaikan, justeru menggesa mahkamah untuk menolak OS.

Dalam OS itu, plaintif mendakwa enakmen negeri bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana yang ditafsirkan dalam kes Indira pada 2018 tentang penukaran agama secara unilateral.

Perkara 12(4) memperuntukkan bahawa agama seseorang yang berumur 18 tahun ke bawah hendaklah ditentukan oleh "ibu bapa atau penjaga". Dalam kes itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perkataan "ibu bapa" dalam peruntukan berkenaan hendaklah ditafsirkan sebagai "ibu bapa" sekiranya mereka masih hidup, justeru kebenaran ibu bapa diperlukan dalam kes penukaran agama.

Plaintif berkata menurut Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Persekutuan mengatasi mana-mana undang-undang negeri yang tidak selaras dengannya. Sehubungan dengan itu, mereka perlu menegaskan bahawa enakmen negeri yang membenarkan penukaran agama secara unilateral harus diisytiharkan terbatal.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan