WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA BERADIK DIDAKWA BUNUH SEORANG LELAKI DI KANGKAR PULAI

04/02/2026 12:29 PM

JOHOR BAHRU, 4 Feb (Bernama) -- Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Kangkar Pulai, Skudai, September lepas.

R.Arasan, 32 dan R.Utes, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama membunuh V.Thamil Selvan, 28, di sebuah rumah tidak bernombor di ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai, antara 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, 15 Sept 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan hingga 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala Arasan dan Utes diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Mohamad Isa Mohamad Basir.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, toksikologi dan asid deoksiribonukleik (DNA) serta tiada jaminan dibenarkan.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad mendedahkan penemuan enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga yang dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga bulan di sebuah rumah yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, bulan lepas.

Siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki berusia 28 tahun.

Susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Jan lepas dengan dua suspek lelaki dituduh di mahkamah manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis untuk dijadikan saksi pendakwaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan