WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKDW NILAI CADANGAN SOKONGAN BAGI USAHAWAN PROFESIONAL BUKA KLINIK FISIOTERAPI LUAR BANDAR

04/02/2026 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menilai cadangan sokongan khusus bagi usahawan profesional yang ingin membuka klinik fisioterapi di kawasan luar bandar, kata timbalan menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata fisioterapi adalah cadangan baharu yang berpotensi disokong melalui program Majlis Amanah Rakyat (MARA), selain skim sedia ada bagi sektor klinik perubatan, pergigian dan farmasi.

"MARA mempunyai program khas bagi usahawan profesional, termasuk sektor perubatan seperti UNI Klinik, pergigian dan farmasi, dan fisioterapi pula merupakan cadangan baharu yang boleh disokong. 

"Program ini turut menyediakan tajaan atau pinjaman bagi doktor yang ingin membuka klinik bukan sahaja di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar serta beberapa sektor profesional lain," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Rubiah menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang ingin tahu sama ada KKDW akan mewujudkan skim pembayaran atau geran bagi penubuhan klinik fisioterapi di kawasan desa untuk golongan rentan atau B40.

Selain itu, Rubiah berkata KKDW turut memberikan sokongan khusus kepada lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata institusi TVET di bawah kementerian itu telah menjadikan keusahawanan sebagai teras pengajian, termasuk diploma teknousahawan, dengan 442 graduan dan jualan pelajar sejak 2016 hingga 2025 mencecah RM120 juta.

Bantuan itu merangkumi skim pembiayaan MARA, kemudahan premis perniagaan, ruang inkubasi, latihan serta khidmat bimbingan bagi membantu lepasan TVET memulakan dan membangunkan perniagaan.

Menurut Rubiah, KKDW juga telah melaksanakan Program Start Right (PSR) sejak 2021 sebagai pemangkin kepada belia termasuk lepasan TVET untuk menceburi bidang keusahawanan teknikal.

"Program ini menyediakan latihan keusahawanan, set peralatan, modal permulaan bernilai RM20,000 serta bimbingan dan pemantauan selama 24 bulan bagi memastikan usahawan baru menjana hasil jualan yang mampan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan