WILAYAH - SELATAN > BERITA

JOHOR MOHON OPERASI PEMBENIHAN AWAN TINGKAT KELEMBAPAN DI KAWASAN TERJEJAS KEBAKARAN

04/02/2026 03:20 PM

JOHOR BAHRU, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor telah mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan untuk meningkatkan kelembapan di kawasan terjejas kebakaran terbuka.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran menerusi Facebook berkata inisiatif itu merupakan langkah tambahan usaha pemadaman kebakaran yang sedang dijalankan di kawasan terlibat.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian kebakaran tanah gambut di beberapa kawasan akibat cuaca panas dan kering berpanjangan tanpa hujan melebihi 25 hari, kebelakangan ini.

“Setakat ini, terdapat tiga kawasan utama terlibat iaitu Bakri Batu 13 dan 14, Muar; Bio-Desaru, Tanjung Balau di Kota Tinggi serta Sungai Linau, Simpang Renggam, Kluang.

"Kesemua kawasan dalam keadaan terkawal namun belum dipadam sepenuhnya. Operasi pemadaman dilaksanakan tanpa henti melibatkan lebih 300 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan," katanya.

Onn Hafiz berkata pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara. 

"Operasi pemadaman diteruskan sehingga api padam sepenuhnya dengan sasaran penyelesaian dalam tempoh terdekat, bergantung kepada keadaan cuaca semasa. Semua kos operasi ditanggung Tabung Bencana Negeri Johor.

"Selain itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terlibat terkawal, namun kita terus memantau aspek kesihatan awam. Penduduk juga dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sekiranya terdapat asap tebal serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami masalah pernafasan," katanya.

Pada masa sama, Onn Hafiz berkata paras takungan empangan dan kolam tadahan utama terkawal dan mencukupi untuk kegunaan domestik serta keperluan harian meskipun cuaca panas serta kering berpanjangan.

Beliau berkata pemantauan menunjukkan sebahagian besar empangan bekalan air Johor berada pada paras selamat, bagaimanapun, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka.

"Tindakan tegas boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang alam sekitar terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kebakaran," katanya sambil memohon orang ramai melaporkan segera sekiranya ternampak asap, aktiviti pembakaran atau tanda awal kebakaran.

Beberapa siri kebakaran terbuka berlaku sejak kebelakangan ini dengan kebakaran tanah gambut seluas hampir 100 hektar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, dekat Kota Tinggi menyebabkan 112 mangsa terjejas dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan