ALOR GAJAH, 4 Feb (Bernama) -- Seorang pelajar Kolej Komuniti Selandar maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Tambun, Durian Tunggal di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi itu, mangsa yang berusia 20 tahun mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka.
"Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda yang ditunggang pelajar terbabit dalam perjalanan dari Sungai Udang ke Kolej Komuniti Selandar sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta Honda City yang dipandu seorang wanita berusia 48 tahun.
"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 49 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pelanggaran berkenaan menyebabkan motosikal pelajar tersebut mengalami kerosakan teruk dan mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Melaka.
Ahmad berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial