WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PIALA PEKERJA ASING FOMEMA 2026 GALAK KESEJAHTERAAN, KETERANGKUMAN SOSIAL

05/02/2026 11:23 AM

PETALING JAYA, 5 Feb (Bernama) -- Jauh terpisah daripada keluarga dan sistem sokongan yang biasa bagi mereka, golongan pekerja asing terus memikul sebahagian daripada pekerjaan paling mencabar di Malaysia, di samping memberikan sumbangan secara tidak langsung kepada pembangunan negara dalam sektor yang sering dilabel sebagai kotor, berbahaya dan sukar. 

Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan itu, FOMEMA Sdn Bhd menganjurkan kejohanan Piala Pekerja Asing FOMEMA 2026 (Edisi Futsal) yang julung kali diadakan, di Petaling Jaya, Sabtu ini sebagai platform menggalakkan kesihatan, kesejahteraan serta keterangkuman sosial dalam kalangan tenaga kerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Dr Mohd Afiq Farhan Md Hanif berkata inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan pihaknya yang terus berkembang dalam menangani kesihatan pekerja asing, dengan penekanan lebih menyeluruh terhadap kesejahteraan fizikal dan mental.

“Pekerja asing menjadi pemacu dalam mengekalkan kelestarian ekonomi Malaysia, namun berjauhan daripada keluarga menimbulkan cabaran fizikal dan emosi yang besar. Melalui sukan, kami (FOMEMA) ingin mewujudkan satu komuniti yang membuatkan mereka (pekerja asing) berasa dihargai dan mendapat sokongan.

“Kejohanan ini akan menjadi platform untuk menggalakkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan dalam kalangan mereka, yang sering bekerja mengikut syif dan dalam persekitaran mencabar, di samping menyatukan semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dan majikan di bawah satu bumbung,” katanya kepada Bernama.

Dr Mohd Afiq berkata kejohanan itu juga selaras dengan peranan utama FOMEMA selaku pengendali pemeriksaan perubatan bagi pekerja asing di Malaysia, dengan lebih 5,000 penyedia perkhidmatan panel, di samping menekankan kepentingan penjagaan kesihatan pencegahan menerusi aktiviti fizikal dan amalan gaya hidup sihat.

“Galakan terhadap amalan ini mampu membantu meningkatkan kesejahteraan pekerja asing secara menyeluruh dan mengekalkan kesihatan lebih baik sepanjang tahun seterusnya menyumbang kepada kesihatan awam yang berdaya tahan dan tenaga kerja mampan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya memilih futsal kerana sukan itu tidak asing dalam kalangan pekerja dari pelbagai negara, membolehkan mereka menyertainya tanpa mengganggu komitmen kerja, di samping menyeronokkan. 

Dr Mohd Afiq berkata tujuh pasukan pekerja asing bersama-sama satu pasukan daripada FOMEMA akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang dijalankan dalam format liga itu sebelum memasuki pusingan kalah mati.

Selain perlawanan futsal, peserta berpeluang mengunjungi reruai kesihatan dan kesejahteraan, berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah menarik serta menyertai pertandingan dan anugerah untuk pasukan dan individu. 

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala RM3,000 dan RM1,000 bagi tempat kedua serta ketiga, berserta pingat dan sijil penyertaan.

Pemain Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik pula masing-masing akan menerima baucar bernilai RM500.

Dr Mohd Afiq berkata inisiatif penganjuran kejohanan itu juga memberi manfaat kepada majikan menerusi pengukuhan kepercayaan dan hubungan dengan pekerja mereka, meningkatkan semangat serta memperlihatkan komiten terhadap amalan bertanggungjawan selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Yang lebih penting kata beliau, FOMEMA Foreign Worker Cup 2026 memberi mesej jelas bahawa menghargai pekerja asing bukan sekadar terhadap sumbangan tenaga kerja mereka, tetapi juga sebagai individu dengan mengambil berat berkaitan kesihatan, maruah dan penerimaan terhadap mereka.

Ditanya mengenai perancangan untuk menganjurkan kejohanan berkenaan pada skala lebih besar, beliau berkata edisi ini menjadi permulaan dalam memberikan pengalaman bermakna buat semua peserta.

“Ini kali pertama kami anjurkan pertandingan sukan, sebelum ini hanya ceramah kesihatan untuk pekerja asing  dan webinar bagi memberi maklumat terkini mengenai proses pemeriksaan perubatan mereka.

“Kami akan membuat pascanilai dan mengumpulkan maklum balas daripada majikan serta pekerja asing sebelum mempertimbangkan penganjuran edisi akan datang atau memperluas kejohanan kepada sukan lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan