WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANTARA TANGGUNGJAWAB DAN KEMAMPUAN: ANAK MUDA TERHIMPIT HUTANG IBU AYAH

05/02/2026 12:27 PM


From Nurqalby Mohd Reda

Dalam diam, semakin ramai anak muda terpaksa memikul beban hutang yang ditinggalkan oleh ibu bapa, sama ada dalam bentuk pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan ataupun lain-lain pinjaman yang gagal dilangsaikan. 

Mereka yang baru melangkah ke alam pekerjaan, terpaksa membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk melunaskan komitmen kewangan ibu ayah, yang mungkin mengalami keuzuran sehingga tidak lagi mampu bekerja, ataupun dibuang kerja, bersara dengan jumlah pencen tidak seberapa dan pelbagai lagi.

Anak-anak yang terikat dengan tanggungjawab moral, mahu tidak mahu, ada kalanya terpaksa mengikat perut sendiri demi memastikan kelangsungan hidup dan maruah ibu bapa serta keluarga terpelihara.  

Tambah memeritkan, ada juga anak-anak yang bukan sahaja diminta melunaskan hutang, tetapi turut menanggung perbelanjaan ibu ayah termasuk membayar bil utiliti serta keperluan asas lain walaupun diri sendiri hanya “cukup-cukup makan”.

 

KERANA TANGGUNGJAWAB

Berkongsi pengalamannya, seorang majikan yang hanya mahu dikenali sebagai Nadia, mengakui situasi itu bukan satu isu baharu dan kini dilihat kian ketara dalam landskap sosioekonomi semasa, khususnya bagi golongan muda daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau yang menyediakan perkhidmatan logistik, berkata kian ramai anak muda pada hari ini dibebani masalah kewangan yang bukan disebabkan oleh diri sendiri, tetapi kerana memikul komitmen kewangan ibu bapa andai tidak mahu dianggap “anak derhaka”. 

pic-2

“Saya sebagai majikan mengakui ada beberapa staf saya yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan graduan yang baru bekerja dan baru nak merasa pegang duit sendiri, terpaksa memberi separuh gaji kepada ibu bapa untuk melunaskan hutang, termasuk hutang kenderaan seperti kereta dan motosikal.

“Kebanyakan ibu bapa pekerja ini adalah golongan yang telah bersara dan tidak lagi bekerja...mereka (ibu bapa) ini tidak lagi mampu membayar hutang kenderaan milik mereka dan akhirnya anak-anak menjadi mangsa dan didesak untuk membayar baki hutang yang ada,” katanya kepada Bernama.

Nadia berkata ada pekerjanya sanggup menambah beban kewangan sendiri dengan mengambil pinjaman peribadi bagi melunaskan baki hutang tertunggak ibu bapa.

“Ada seorang pekerja, umur 25 tahun dan bekerja tidak sampai lima bulan dengan gaji purata RM3,000, cuba mohon pinjaman peribadi. Saya sangkakan untuk diri sendiri, rupanya diminta oleh bapa kerana beban hutang yang banyak.

“Bapa ada rumah, kereta dan motosikal. Setahun sebelum bersara, dia beli lagi sebuah kereta sedangkan hutang kereta sedia ada belum habis dibayar. Oleh sebab tidak mampu tanggung komitmen bulanan, termasuk tanggung isteri dan dua anak yang masih belajar, jalan terakhir dia adalah meminta anak sulung (pekerja) mohon pinjaman peribadi untuk selesaikan semua hutang itu,” katanya.

Selain menyelesaikan hutang, ada juga ibu bapa yang sanggup meletakkan anak dalam keadaan berhutang demi memenuhi kehendak peribadi, seperti yang dikongsikan oleh pengguna platform Thread @notmymainduh02 di laman sosial itu.

Dia yang meminta pandangan pengguna Thread lain, berkata ibunya meminta dia membuat pinjaman peribadi untuk membesarkan ruang tamu rumah.

“Dia (ibu) suruh saya gabung gaji dengan (gaji) dia (buat pinjaman peribadi), saya tidak mahu sebab dia selalu hutang barang di kedai. Hanya bayar separuh bulan dan kemudian sayalah yang perlu selesaikan (hutang) sampai habis.

“Saya nak bebas hutang, cukuplah hutang dengan kereta (saya) sahaja. Saya baru cakap tak nak (buat pinjaman baharu), dia (ibu) dah bermasam muka,” katanya.

 

ISU SOSIAL 

Mengulas isu berkenaan, Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu Dr Siti Nurain Muhmad berpendapat fenomena golongan muda terpaksa menanggung hutang ibu bapa atau ahli keluarga, wajar dilihat sebagai isu sosial dan ekonomi yang semakin serius.

Beliau berkata dalam konteks masyarakat Malaysia yang menyanjung tinggi nilai bakti kepada ibu bapa, ramai anak muda akhirnya memikul beban hutang kerana didorong oleh tekanan moral, emosi dan budaya demi menjaga maruah serta mengelakkan ibu bapa berdepan tekanan pemiutang.

“Akan tetapi, apabila bakti berubah menjadi beban kewangan kepada anak, ia secara tidak langsung menjejaskan kestabilan kehidupan mereka. Anak-anak berisiko berdepan tekanan mental, konflik dalam keluarga, penangguhan perancangan masa depan, malah berpotensi terjerumus ke dalam kitaran hutang baharu.

“Sehubungan itu, fenomena ini perlu ditangani secara menyeluruh melalui peningkatan literasi kewangan dalam keluarga, komunikasi yang lebih terbuka antara ibu bapa dan anak, sokongan sosial yang mencukupi serta pendekatan bantuan yang lebih seimbang dan realistik, selaras dengan kemampuan sebenar anak-anak,” katanya.

pic-3

Menurut Siti Nurain, isu pewarisan hutang dalam kalangan golongan muda semakin ketara dalam konteks ekonomi semasa, khususnya apabila tekanan kos sara hidup terus meningkat.

Peningkatan perbelanjaan asas seperti makanan, sewa atau ansuran rumah, pendidikan serta kos rawatan kesihatan, menyebabkan banyak keluarga bergantung pada pinjaman bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru, apabila ibu bapa berdepan kesukaran membayar komitmen kewangan, anak-anak yang sudah bekerja sering menjadi pihak yang terpaksa membantu, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Ada keluarga bergantung pada pinjaman peribadi, kad kredit dan skim ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL)… akhirnya hutang yang kecil pada awalnya boleh bertambah dari semasa ke semasa akibat faedah dan bayaran ansuran terkumpul.

“Apabila ini berlaku, anak yang sudah bekerja di dalam keluarga terpaksa mengambil alih pembayaran,” katanya, menambah kesemua itu berpunca terutamanya daripada tahap literasi kewangan yang rendah.

 

RISIKO MUFLIS

Mengulas lanjut, Siti Nurain berkata golongan belia yang baru melangkah ke dunia pekerjaan sering berdepan dengan kos perbelanjaan asas yang tinggi termasuk sewa rumah, bil utiliti, makanan dan pengangkutan serta hutang pengajian.

Katanya, apabila perbelanjaan itu dibebankan lagi dengan hutang keluarga, pendapatan mereka yang selalunya tidak seberapa tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan komitmen kewangan, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan kewangan dan muflis.

“Berdasarkan laporan Jabatan Insolvensi Malaysia, seramai 5,272 belia berumur 34 tahun ke bawah telah diisytiharkan muflis bagi tempoh 2020 hingga 2025. Daripada jumlah itu, 5,189 orang melibatkan golongan berumur 25 hingga 34 tahun, manakala 83 orang berumur bawah 25 tahun.

“Trend muflis turut menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 877 kes direkodkan pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 150 kes berbanding 727 kes pada tahun sebelumnya,” kata beliau.

Situasi itu katanya, menuntut perhatian segera semua pihak berkaitan bagi memperkukuh tahap literasi kewangan termasuk menggalakkan pengurusan perbelanjaan yang lebih berhemat serta menyediakan sokongan bersepadu agar generasi muda mampu membina masa depan kewangan yang lebih stabil.

Menurut beliau, sekiranya isu tersebut dibiarkan berlarutan, wujud risiko kitaran hutang yang berpanjangan antara generasi.

“Hutang yang diwarisi menjejaskan keupayaan mereka untuk menabung, memiliki rumah atau memulakan perniagaan, sekali gus meningkatkan kecenderungan mereka membuat pinjaman baharu bagi menampung keperluan hidup atau komitmen kewangan lain.

“Beban hutang yang berterusan ini bukan sahaja mengehadkan simpanan dan peluang pelaburan, malah membataskan mobiliti ekonomi generasi muda. Apabila mereka membina keluarga sendiri, tekanan kewangan ini berisiko berpanjangan dan seterusnya mewujudkan satu kitaran hutang antara generasi yang sukar diputuskan,” tambahnya.

 

ANAK SEBAGAI PENYELESAIAN KEWANGAN

Sementara itu, Dr Noor Aslinda Abu Seman daripada Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn, berkata ibu bapa tanpa simpanan persaraan yang kukuh, bekerja dalam sektor tidak formal tanpa caruman persaraan dan pencen, serta mempunyai pelan perlindungan kesihatan yang terhad, berisiko besar untuk berdepan krisis kewangan.

Beliau berkata apabila keadaan itu berlaku, ada kecenderungan untuk ibu bapa menjadikan anak-anak sebagai jaring keselamatan kewangan terakhir bagi menanggung kehidupan mereka.

“Sistem persaraan yang tidak inklusif, pekerjaan yang tidak stabil dan norma budaya yang mengharapkan anak sebagai penjaga, dilihat sebagai pemindahan beban kewangan yang tidak terancang daripada generasi terdahulu kepada generasi muda.

pic-4

“Hutang yang pada asalnya diambil untuk keperluan asas, akhirnya akan bertukar menjadi beban yang tidak mampu ditanggung apabila usia meningkat dan pendapatan berkurangan. Pada ketika itu, anak-anak dilihat bukan sekadar sebagai sokongan, tetapi sebagai satu-satunya jalan penyelesaian...penyerahan hutang ini jarang berlaku dengan niat, tetapi lebih kepada ketiadaan pilihan lain yang selamat,” jelasnya.

Sambung beliau lagi, ibu bapa yang mempunyai tahap literasi kewangan terhad cenderung membuat keputusan berkaitan hutang berdasarkan keperluan segera, tanpa mengambil kira implikasi, termasuk kesannya dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang. 

Sebaliknya, ibu bapa yang celik kewangan lebih proaktif dalam mengurus kewangan keluarga dengan menyusun perancangan persaraan, memiliki perlindungan insurans dan perubatan yang mencukupi serta mengelakkan kebergantungan pada anak sebagai sandaran kewangan.

“Ada ibu bapa lebih tertumpu pada survival kewangan hari ini dan meletakkan kesan hutang ke atas anak di tempat kedua… kesedaran terhadap krisis kewangan hanya akan wujud selepas keadaan menjadi parah, atau jika anak sendiri secara terbuka berkongsi bagaimana hutang itu telah menjejaskan kehidupan mereka.

“Hanya ibu bapa yang bijak kewangan akan mengelak daripada menjadikan anak mereka sebagai pelan simpanan. Mereka ini akan melihat kewangan anak sebagai entiti yang berasingan dan harus dipelihara,” tambahnya. 

 

“MEMBANTU DENGAN SEMPADAN”

Mengulas lanjut, Noor Aslinda berkata tidak wajar bagi anak-anak sepenuhnya beban kewangan ibu bapa, kerana tindakan tersebut bukan sahaja bersifat tidak adil, malahan bercanggah dengan prinsip pengurusan kewangan yang sihat.

Beliau berkata pendekatan itu berisiko menjadikan masalah kewangan berkenaan berulang dalam kitaran antara generasi, selain boleh mencetuskan rasa tidak puas hati serta mencetuskan konflik keluarga yang berpanjangan.

Sehubungan itu katanya, pendekatan terbaik yang disarankan adalah konsep “membantu dengan sempadan”, dengan anak-anak digalakkan memastikan kestabilan kewangan sendiri sebelum memberikan bantuan kepada ibu bapa.

“Prinsip ini diumpamakan seperti situasi (kecemasan) dalam pesawat, apabila penumpang perlu memakai topeng oksigen sendiri terlebih dahulu sebelum membantu orang lain. Selain itu, bantuan yang diberikan juga disaran bersifat penyelesaian jangka panjang dan bukan sekadar sumbangan kewangan semata-mata.

“Anak-anak boleh membantu ibu bapa mengurus komitmen kewangan, merundingkan semula hutang atau mengenal pasti sumber pendapatan tambahan bagi mengurangkan beban secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, penetapan had bantuan yang jelas amat penting bagi mewujudkan jangkaan realistik serta melindungi kedudukan kewangan anak-anak.

Komunikasi terbuka antara ahli keluarga turut dilihat sebagai kunci utama, dengan penekanan bahawa nilai bakti  terhadap ibu bapa tidak seharusnya diukur berdasarkan wang semata-mata, sebaliknya melalui keikhlasan membantu dalam batas kemampuan sedia ada.

“Bantuan terbaik adalah yang membawa kepada penyelesaian kekal, seperti rundingan semula bayaran hutang atau mencari sumber pendapatan tambahan.

“Tetapkan juga had yang jelas misalnya ‘saya hanya boleh bantu ibu bapa RM200 sahaja sebulan dalam tempoh enam bulan’. Jadi, secara tidak langsung akan mewujudkan jangkaan realistik dan melindungi kewangan anda (anak),’’ tambahnya.

 

KAWAL PEMBERIAN KREDIT KEPADA BAKAL PESARA

Noor Aslinda berkata antara langkah yang disarankan bagi menangani isu beban hutang keluarga ialah memperketat kawal selia institusi kewangan, termasuk memperkenalkan garis panduan lebih tegas berhubung pemberian kredit kepada individu yang hampir tempoh bersara.

pic-5

Langkah itu termasuk wajibkan kaunseling kewangan bagi permohonan yang melibatkan jumlah pinjaman besar, katanya.

Selain itu,  Noor Aslinda berkata perlu diadakan saluran penyelesaian hutang yang lebih berkesan dengan memperkukuh peranan agensi berkaitan termasuk  Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), seperti pemberian kuasa yang lebih luas bagi rundingan penyelesaian hutang, terutamanya melibatkan golongan warga emas.

“Dalam masa sama, usaha meningkatkan tahap pendidikan dan kesedaran kewangan perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui kempen literasi kewangan di peringkat nasional, yang memberi tumpuan kepada perancangan persaraan sejak awal. 

“Pengukuhan akses kepada perkhidmatan kesihatan mampu milik juga dilihat penting bagi mengurangkan kebergantungan pada rawatan swasta yang berkos tinggi, yang juga menjadi antara  pembentukan hutang dalam kalangan keluarga,” katanya.

Beliau turut menyarankan institusi perbankan memberikan penjelasan khusus dan menyeluruh tentang risiko serta tanggungjawab undang-undang kepada anak muda yang bercadang menjadi penjamin bagi pinjaman ibu bapa.

Institusi kewangan juga wajar mempertimbang penstrukturan semula pinjaman khas untuk warga emas, termasuk menawarkan produk penyelesaian hutang yang menukar baki pinjaman kepada ansuran mikro seumur hidup tanpa memerlukan anak-anak menjadi penjamin, atau mendapatkan perlindungan takaful.

Selain itu, penubuhan perkhidmatan kaunseling hutang keluarga turut dicadangkan, termasuk mewujudkan saluran khusus di bawah AKPK bagi membantu seluruh ahli keluarga merangka pelan kewangan antara generasi serta menyelesaikan hutang secara lebih sistematik dan terancang.

Noor Aslinda juga melihat kepentingan kempen kesedaran akan hak anak muda, iaitu mereka tidak ada tanggungjawab dari segi undang-undang untuk melunaskan hutang peribadi ibu bapa sekiranya mereka bukan penjamin pinjaman berkenaan.

“Golongan muda perlu menukar paradigma ‘bakti = wang’. Bakti boleh dibuat dalam bentuk masa, perhatian, pengurusan, dan kasih sayang.

“Sekiranya terpaksa memberi bantuan kewangan, jadikan ia sesuatu yang telus dan dipersetujui oleh semua, bagi mengelakkan salah faham. Jangan rasa bersalah sekiranya tidak mampu membantu keluarga melunaskan hutang dan sekiranya mahu membantu pastikan mengikut kerangka kemampuan yang realistik,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan