WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU PILIHAN RAYA DATUK BANDAR: CADANGAN PERLU DIBANGKITKAN DI PARLIMEN - FAHMI

05/02/2026 06:26 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Kerajaan terbuka dan bersedia menerima sebarang cadangan daripada pihak pembangkang berkaitan dengan syor pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata sebarang cadangan berkaitan perkara itu boleh dibangkitkan oleh pihak pembangkang semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada minggu hadapan.

Beliau berkata tiada keperluan untuk membahaskan perkara berkenaan di Parlimen buat masa ini sepertimana didesak pembangkang kerana kerajaan belum menerima kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana perkara yang Hannah Yeoh (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sebut ialah satu kajian yang disediakan oleh UIAM dan kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet.

"Jadi, belum ada apa-apa (perbincangan), ia pramatang," katanya selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dengan Magna AI, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam yang menggesa kerajaan supaya membentangkan dan membahaskan syor pilihan raya berkenaan di Parlimen.

Pada 3 Feb lepas, Hannah berkata kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota termasuklah pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur telah dijalankan sejak pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Hannah berkata kajian berkenaan bermula sejak Disember lepas susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan