WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGENDALI REL DIGESA TINGKAT PELABURAN TEKNOLOGI KESELAMATAN, CEGAH KECURIAN KABEL

05/02/2026 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Semua pengendali rel digesa supaya meningkatkan pelaburan dalam teknologi keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem pemantauan pintar bagi membendung kes kecurian kabel.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata langkah berkenaan penting untuk melindungi infrastruktur rel strategik termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT).

“Kaedah ini dilaksanakan di China dan Jerman yang telah melabur secara besar-besaran dalam teknologi keselamatan dan hal ini merupakan pendekatan yang perlu diguna pakai secara bersama oleh agensi penguat kuasa dan pengendali di negara ini dalam membendung kegiatan kecurian kabel ini,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang ingin tahu usaha serta langkah jangka panjang Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk menangani masalah kecurian kabel.

Berhubung kes kecurian kabel di pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di kawasan terpencil, Abdul Rahman berkata Suruhanjaya Tenaga dan TNB sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia untuk memantau dan membuat rondaan bagi memastikan sistem bekalan elektrik TNB sentiasa terkawal serta beroperasi dengan baik.

“Namun, pencegahan kes seperti ini memerlukan bantuan semua pihak termasuk orang ramai agar turut melaporkan sebarang bentuk kejanggalan atau potensi gangguan elektrik, pencerobohan atau kecurian kabel,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman menyifatkan langkah kerajaan untuk meminda hukuman lebih berat kepada pencuri kabel menerusi undang-undang sedia ada merupakan tindakan sewajarnya memandangkan denda dikenakan sangat rendah ketika ini.

“Hal ini kerana hukuman bagi kes kecurian kabel ketika ini hanyalah RM1,000. Satu hukuman yang dianggap tidak setimpal dengan kerugian kewangan yang ditanggung oleh pengendali rel dan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan