WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENJAWAT AWAM DIDAKWA TERIMA SUAPAN RM10,000

05/02/2026 08:43 PM

LABUAN, 5 Feb (Bernama) -- Seorang penjawat awam kanan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000 pada 2020.

Ismaidi Ismail, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Mengikut pertuduhan, Ismaidi yang ketika itu merupakan seorang penjawat awam di Labuan didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM10,000 daripada sebuah syarikat yang mempunyai urusan berkaitan tugas rasmi di jabatannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Labuan pada Mei 2020 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Joe Randy Juster.

Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM10,000 serta seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap dua bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Pengurusan kes praperbicaraan ditetapkan pada 13 Mac ini di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah untuk penyerahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan