KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki dipercayai terlelap ketika memandu menyebabkan keretanya hilang kawalan dan merempuh tembok pagar sebuah sekolah di Jalan Kampung Pasir, Jalan Klang Lama di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian pada 1.50 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an.
“Akibat pelanggaran tersebut, tembok pagar sekolah berkenaan mengalami kerosakan namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan mana-mana pihak dalam insiden terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata siasatan awal mendapati pemandu terbabit dari arah Pantai Dalam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seri Sentosa di sini selepas berjumpa rakannya.
Beliau berkata pemandu kenderaan itu telah tampil ke balai polis untuk membuat laporan dan memberi keterangan lanjut berhubung kejadian itu.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial