BUTTERWORTH, 6 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan cubaan menyeludup masuk rokok bernilai RM9.9 juta selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 24 Dis tahun lepas.
Pengarah JKDM negeri Datuk Rohaizad Ali berkata kontena dari Vietnam itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan pada 10.40 pagi dan pemeriksaan menemukan 930 kotak bertulis Furniture (perabot).
“Daripada jumlah itu, 908 kotak didapati mengandungi 9.08 juta batang rokok putih disyaki barangan larangan bernilai RM9.9 juta termasuk duti kastam manakala 22 kotak lagi mengandungi perabot,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah membuat pengikraran tidak betul dengan menyembunyikan rokok yang dipercayai untuk pasaran tempatan di dalam kotak kononnya membawa perabot.
Rohaizad berkata pengimportan rokok dibenarkan tertakluk kepada permit import selaras kehendak di bawah Bahagian II, Jadual III Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Beliau berkata siasatan lanjut termasuk bagi mengenal pasti individu terlibat masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial