WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WCT AKAN LANCAR PROGRAM TERBITAN NOTA ISLAM BERNILAI RM5 BILION

06/02/2026 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- WCT Holdings Bhd merancang untuk mewujudkan program penerbitan nota Islam dengan nilai nominal agregat sehingga RM5 bilion, terdiri daripada Nota Jangka Sederhana Islam Senior dan/atau Nota Islam Kekal Subordinat berasaskan prinsip Shariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

WCT dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata program sukuk wakalah itu akan mempunyai tempoh program kekal.

“Penerbitan pertama berkenaan di bawah program sukuk wakalah perlu dibuat dalam tempoh 90 hari bekerja dari tarikh penyerahan.

“Tempoh setiap sukuk wakalah senior yang akan diterbitkan perlu sekurang-kurangnya satu tahun dan sehingga tempoh tersebut akan ditentukan sebelum setiap penerbitan, manakala tempoh setiap sukuk wakalah kekal yang akan diterbitkan seharusnya kekal,” kata kumpulan itu.

WCT berkata sukuk wakalah senior dan sukuk wakalah kekal di bawah program sukuk wakalah telah diberikan penarafan kredit awal iaitu A+IS dan A-IS, masing-masing dengan prospek positif oleh MARC Ratings Bhd.

“Di bawah program sukuk wakalah ini, WCT juga akan mempunyai fleksibiliti untuk menerbitkan sukuk wakalah kemampanan dan/atau sukuk wakalah berkaitan kemampanan,” katanya.

Hasil diraih daripada sukuk wakalah tersebut akan digunakan untuk keperluan modal kerja, pembiayaan semula, menampung yuran dan kos serta membiayai akaun bayaran balik pemegang amanah sukuk di bawah program sukuk wakalah tersebut.

AmInvestment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama untuk program sukuk wakalah itu.

AmBank Islamic Bhd dan Maybank Islamic Bhd merupakan penasihat shariah bersama untuk program berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan