WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS SEKAT KEMASUKAN LEBIH 200 TAN E-SISA, BAHAN BUANGAN TERJADUAL

06/02/2026 07:03 PM

SHAH ALAM, 6 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menyekat kemasukan 201.3 tan sisa elektronik atau e-sisa serta Bahan Buangan Terjadual susulan pemeriksaan ke atas sembilan kontena di Pelabuhan Barat, Klang, di sini pagi tadi. 

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata daripada kesemua kontena berasal dari sebuah negara barat dan eropah itu, tujuh didapati tidak diikrar secara sah untuk kemasukan ke dalam negara selain kesemua kontena membawa dagangan yang tertakluk di bawah larangan import mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar.

“Pemeriksaan hari ini turut disertai oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor. 

"Kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kontena-kontena sisa elektronik ini akan ditempatkan di kawasan selamat, sementara menunggu notis dari JAS Pusat dan Selangor bagi tujuan penghantaran semula," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Nik Ezanee berkata mengikut pecahan, lima kontena sarat dengan sisa elektronik terpakai seperti unit pemprosesan pusat (CPU), pencetak dan mesin fotostat seberat lebih 98 tan. 

Beliau berkata empat lagi kontena yang ditahan mengandungi sisa elektronik bercampur bahan buangan terjadual seperti regulator automotif hancur dan besi skrap seberat lebih 103 tan.  

“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang. AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan