KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyita lebih 20,000 unit minyak wangi dan krim penjagaan kulit jenama terkenal bernilai lebih RM1.4 juta yang disyaki menggunakan cap dagangan palsu, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur Mohd Shahran Mohd Arshad berkata Operasi Akta Cap Dagangan 2019 (OPS ACD 2019) itu dijalankan di dua premis bersama-sama tiga wakil pemilik cap dagangan terlibat.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati dua premis yang dikendalikan pemilik dan pekerja warga tempatan itu disyaki memiliki serta menjual barangan dipakaikan cap dagangan secara salah.
“Siasatan awal turut mendapati dua premis itu telah beroperasi kira-kira dua tahun lepas dan bekalan barangan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum dipasarkan di pasaran tempatan.
“Premis itu juga disyaki menjalankan aktiviti penjualan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang selain aktif memasarkan dan menjual melalui platform dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, beliau berkata tujuh warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial