GEORGE TOWN, 6 Feb (Bernama) -- Pulau Pinang merancang untuk melaksanakan projek sisa kepada tenaga (WTE) sebagai langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah bau busuk yang berpunca daripada kegiatan ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek itu kini dilaksanakan sebagai projek perintis di kawasan Valdor di Seberang Perai Selatan (SPS) bersama sebuah syarikat alam sekitar, yang sebelum ini berdepan isu pencemaran bau dan pengurusan sisa ladang babi serius di kawasan itu, namun menunjukkan hasil yang positif.
“Kami telah melihat kejayaan pelaksanaan projek sisa kepada tenaga di Valdor itu selepas tiga tahun usaha berterusan dijalankan bersama sebuah syarikat alam sekitar dan akhirnya masalah bau, gas dan pelepasan sisa najis babi dapat dikawal dengan lebih berkesan.
“Projek itu membolehkan sisa kumbahan ladang babi dirawat dan ditukar kepada tenaga, sekali gus mengurangkan pelepasan bau serta pencemaran alam sekitar,” katanya selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Peruntukan Kerajaan Negeri kepada sekolah-sekolah mubaligh tahun ini di Komtar hari ini.
Beliau mengulas laporan media berhubung ratusan penduduk beberapa taman dan kampung sekitar Tasek Gelugor mengadakan himpunan aman bagi membantah penternakan babi di Kampung Selamat sejak lebih 40 tahun lepas, yang didakwa menyebabkan Sungai Kreh tercemar.
Chow berkata terdapat percubaan untuk melaksanakan projek perintis lain bersama syarikat alam sekitar di kandang khinzir di Kampung Selamat sebelum ini bagi mengatasi masalah itu namun hasilnya tidak memuaskan.
Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri memutuskan untuk menggunakan pendekatan dan teknologi yang sama seperti di Valdor bagi menyelesaikan masalah itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial