GEORGE TOWN, 6 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot penumpang yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah kira-kira 0.7 batu nautika di barat Pulau Jerejak, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata penahanan itu dibuat hasil maklumat dan aduan awam berhubung aktiviti bot penumpang mencurigakan di sekitar perairan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit membawa sebanyak 28 penumpang terdiri daripada tujuh lelaki dan 19 perempuan, selain seorang kapten serta tiga kru yang kesemuanya merupakan warga tempatan.
"Bot penumpang itu juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 474(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa dan mengendalikan bot tanpa lesen yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bot penumpang berkenaan bersama dengan kru telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Muhammad Suffi berkata APMM komited untuk terus memperketat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna perairan serta pematuhan undang-undang maritim sentiasa dipatuhi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial