STOCKHOLM, 6 Feb (Bernama–dpa) -- Bekas Perdana Menteri Norway dan bekas Setiausaha Agung Majlis Eropah Thorbjorn Jagland, kini disiasat susulan pendedahan terbaharu dalam kes pesalah seks Jeffrey Epstein, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Rakyat Norway itu disyaki terbabit dalam rasuah serius, menurut laporan agensi berita NTB lewat malam Khamis.
“Kami percaya terdapat asas yang mencukupi untuk menjalankan siasatan,” kata ketua pihak berkuasa jenayah ekonomi Norway, Pal K Lonseth.
Siasatan itu bertujuan untuk menjelaskan sama ada Jagland menerima hadiah, perjalanan dan pinjaman semasa tempoh beliau berkhidmat sebagai setiausaha agung. NTB melaporkan yang maklumat daripada fail Epstein membayangkan beliau berbuat demikian.
Dokumen berkenaan dikatakan menunjukkan Jagland mempunyai hubungan dengan ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS) itu pada beberapa kesempatan antara 2016 hingga 2018, ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Majlis Eropah dan juga ahli Jawatankuasa Nobel Norway. Jagland pernah menjadi pengerusi jawatankuasa itu dari 2009 hingga 2015.
Media Norway turut melaporkan yang Epstein dan Jagland dikatakan pernah membincangkan pembelian hartanah. Jagland juga dilaporkan merancang percutian bersama keluarganya ke pulau milik Epstein, namun rancangan itu tidak pernah menjadi kenyataan.
Sebagai bekas Setiausaha Agung Majlis Eropah, Jagland menikmati kekebalan daripada pendakwaan.
“Adalah penting kes ini diperjelaskan,” kata Menteri Luar Norway Espen Barth Eide, menurut NTB. “Sebab itu saya memutuskan yang Norway akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Menteri Majlis Eropah untuk menarik balik kekebalan Jagland.”
Pendedahan terbaharu berkaitan Epstein turut menyorot perhatian terhadap beberapa rakyat Norway lain selain Jagland. Puteri Mahkota Norway Mette-Marit, misalnya, berdepan tekanan hebat sejak dokumen terbaharu didedahkan seminggu lalu. Beliau dikatakan pernah bertukar e-mel peribadi dengan pesalah seks yang disabitkan kesalahan itu selama beberapa tahun.
-- BERNAMA–dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial