PAPAR, 7 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencadangkan supaya isu lambakan barangan import serta penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial dimasukkan dalam terma rujukan jawatankuasa khas yang diketuai Kementerian Kewangan (MOF).
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata cadangan itu dibangkitkan dalam mesyuarat pasca Kabinet pada Jumaat lepas, bagi memastikan kebimbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dapat ditangani secara menyeluruh.
Beliau berkata lambakan barangan dari luar negara yang memasuki pasaran tempatan, sama ada melalui platform e-dagang atau aktiviti import oleh pelabur asing dan tempatan, memberikan kesan negatif terhadap pasaran produk tempatan.
“Walaupun kerajaan menggalakkan pembelian dan penggunaan barangan tempatan, kita melihat wujud kecenderungan peningkatan kemasukan barangan dari luar negara, khususnya disebabkan faktor harga yang lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan lot kedai di Kinarut Palm Avenue di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim dan Pengarah Urusan WSG Group Datuk Susan Wong.
Jumaat lepas, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi menangani isu salah guna Pas Lawatan Sosial yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.
Pasukan itu dianggotai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Dalam Negeri (KDN), KPDN, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata isu berkenaan bukan sahaja melibatkan persaingan harga, malah turut merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan pematuhan standard barangan import yang boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan PMKS tempatan.
Justeru, penubuhan jawatankuasa khas berkenaan penting bagi menyelaras tindakan merangkumi aspek perundangan, dasar, penguatkuasaan dan pemantauan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.
Beliau berkata KPDN akan memberikan kerjasama penuh kerana antara tanggungjawab utama kementerian adalah memastikan kemampanan dan kesihatan pasaran tempatan serta mengutamakan kepentingan barangan tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan Kerajaan Negeri Sabah bersama kementerian Persekutuan yang berkaitan meneliti isu pelaburan asing dalam sektor pelancongan di negeri itu dengan lebih mendalam.
Armizan berkata laporan awal menunjukkan terdapat kira-kira 81 tempat peranginan, chalet dan premis penginapan di Semporna yang diusahakan melalui usaha sama antara pelabur luar dan syarikat tempatan, selain sebahagiannya dimiliki sepenuhnya oleh syarikat asing.
“Pelaburan asing dialu-alukan, namun kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi menilai manfaat sebenar kepada negeri dan komuniti tempatan termasuk sumbangan ekonomi dan kesan jangka panjang terhadap industri pelancongan tempatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial