WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FORUM CEO INDIA–MALAYSIA SERU SEMAKAN KE ATAS CECA AGAR SEJAJAR DENGAN KEUTAMAAN ABAD INI

07/02/2026 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Forum CEO India-Malaysia telah menyeru agar semakan semula berstruktur dibuat ke atas Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (CECA) untuk diselaraskan dengan keutamaan abad ke-21 seperti perdagangan digital, perkhidmatan lanjutan dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

 

Forum itu, yang mengakhiri mesyuarat ke-10 hari ini, mencadangkan perluasan liputan kepada teknologi kewangan, tenaga boleh baharu dan penjagaan kesihatan; menentukur semula peraturan asal untuk penggunaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lebih baik; memudahkan prosedur kastam; termasuk meningkatkan ketersambungan melalui lebih banyak penerbangan terus dan laluan perkapalan. 

“Forum tersebut turut menganjurkan agar penambahbaikan CECA diseleraskan dengan kajian semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) untuk meminimumkan halangan kawal selia selain merangsang integrasi rantaian nilai serantau, khususnya dalam elektronik serta semikonduktor,” kata Majlis Perniagaan Malaysia India (MIBC) dan Gabungan Industri India (CII) melalui satu kenyataan bersama.

MIBC berperanan sebagai sekretariat Malaysia, manakala CII merupakan rakan sejawatannya dari India.

Forum itu ketika menyentuh mengenai kerjasama digital dan kecerdasan buatan berkata ekonomi digital India sedang berkembang pesat, ia diunjurkan menyumbang satu perlima daripada pendapatan negara menjelang 2029-2030, dan ekosistem kecerdasan buatannya (AI) pula disokong oleh Misi IndiaAI. 

Penekanan Malaysia terhadap transformasi digital melengkapkan usaha ini, dengan kedua-dua negara meningkatkan kerjasama digital di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif mereka. 

“Perkongsian ini disokong dengan ketara oleh Majlis Digital Malaysia-India (MIDC), yang ditubuhkan pada 2024 semasa mesyuarat Perdana Menteri di New Delhi. 

“MIDC adalah langkah yang tepat pada masanya dan berwawasan, ia mengiktiraf keperluan ke arah kerjasama berstruktur di tengah-tengah transformasi digital global,” katanya. 

Melihat ke hadapan, kenyataan itu berkata forum tersebut komited untuk dialog yang berterusan melalui subkumpulan dalam sektor-sektor keutamaan seperti CECA Malaysia-India, semikonduktor dan wafer, infrastruktur, pendidikan dan kemahiran, penjagaan kesihatan serta pendigitalan dan AI. 

Struktur ini akan memudahkan input yang diterajui industri, penjajaran dasar dan penyelesaian cabaran dalam penyelarasan dengan kerajaan.

“Kenyataan bersama itu berfungsi sebagai pengesahan semula kemajuan dan seruan untuk bertindak, menekankan bahawa langkah-langkah penentu 2024 kini mesti berkembang menjadi kemajuan transformatif ke arah masa depan yang diperkasa secara digital,” tambahnya.

Forum itu, yang dirasmikan oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo, menghimpunkan pemimpin perniagaan terkemuka dari kedua-dua negara untuk memajukan kerjasama perdagangan, pelaburan dan perindustrian. 

Ia juga mengkaji kemajuan hubungan ekonomi dua hala dan menggariskan cadangan strategik bagi memupuk pertumbuhan inklusif serta mampan di tengah-tengah dinamik global yang berkembang.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan