WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPM BUAT PERSIAPAN MAKSIMUM KEMASUKAN KANAK-KANAK ENAM TAHUN KE SEKOLAH

08/02/2026 01:06 PM

NIBONG TEBAL, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) membuat persiapan maksimum bagi menghadapi kemasukan kanak-kanak enam tahun ke tahun satu bermula tahun hadapan susulan jangkaan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pendaftaran murid secara dalam talian dibuka pada 15 Feb dan berdasarkan maklum balas awal, KPM menjangkakan peningkatan ketara jumlah kemasukan murid, khususnya di kawasan bandar.

“Seperti saya sebutkan di Parlimen sebelum ini, persiapan kita pada tahap maksimum walaupun bilangan murid belum dapat sepenuhnya kerana pendaftaran belum dibuka," katanya. 

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program dan Semarak Sejahtera Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Beliau berkata tumpuan utama KPM ketika ini ialah pemetaan kawasan dan sekolah termasuk mengenal pasti fasiliti sedia ada, kapasiti kelas dan mengoptimumkan sekolah yang dijangka menerima limpahan pelajar.

“Kalau ikut pemetaan kita, semua kawasan bandar dijangka terima lebih ramai (murid) daripada biasa. Bermakna ibu bapa menyambut perkara ini dengan sangat baik,” katanya.

Dalam usaha menampung keperluan itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata KPM akan mengoptimumkan penggunaan kelas sedia ada dan menambah kelas baharu melalui kaedah pembinaan sistem berindustri (IBS) yang lebih pantas berbanding pembinaan konvensional.

“Kita juga akan membuka pengambilan 20,000 guru seperti yang diperlukan. Dua perkara utama sedang kita persiapkan dengan sangat tekun dan teliti kerana KPM komited memastikan kelancaran pelaksanaan kemasukan murid tahun satu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan