WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MODI BERLEPAS PULANG SELEPAS LAWATAN RASMI DUA HARI KE MALAYSIA

08/02/2026 05:43 PM

SEPANG, 8 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesawat khas membawa Modi dan delegasi beliau berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4.35 petang. 

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan selaku menteri pengiring sepanjang lawatan berkenaan hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Modi.

Beliau turut diberi penghormatan penuh istiadat termasuk kawalan kehormatan daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Kira-kira 100 pelajar antaranya daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Dengkil dan Sekolah Menengah Sains Banting, Selangor turut mengibarkan bendera Malaysia dan India bagi mengucapkan selamat jalan kepada Modi dan delegasi.

Selain itu, beberapa persembahan kebudayaan yang melambangkan kepelbagaian masyarakat di Malaysia turut dipersembahkan.

Terdahulu, Anwar dan Modi turut menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) serta dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara pada majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Pada sidang media bersama di Kompleks Seri Perdana, Anwar berkata Malaysia dan India akan terus memperkukuh kerjasama  susulan penaikan taraf hubungan dua hala kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos 2024.

Anwar berkata India merupakan rakan utama Malaysia dengan kerjasama yang semakin berkembang dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan pelancongan.

India dan Malaysia berkongsi hubungan sejarah, tamadun dan budaya, serta disokong oleh kira-kira 2.9 juta komuniti diaspora India di Malaysia, yang ketiga terbesar di dunia.

Hubungan ekonomi Malaysia-India terus menunjukkan momentum kukuh, yang menyaksikan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada 2025.

Eksport Malaysia pula berjumlah RM52.3 bilion (USD12.24 bilion) dan import sebanyak RM27.19 bilion (USD6.35 bilion) dengan barangan eksport utama terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import terutamanya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan