WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KENAIKAN 300 PERATUS PERUNTUKAN JALAN PERSEKUTUAN BUKTI KOMITMEN KERAJAAN MADANI - NANTA

08/02/2026 06:50 PM

KUCHING, 8 Feb (Bernama) -- Peningkatan peruntukan sebanyak 300 peratus bagi kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak pada tahun ini menjadi bukti jelas komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan keperluan infrastruktur asas di kedua-dua negeri itu diberi perhatian sewajarnya, selain memperkasakan penglibatan kontraktor kecil bumiputera tempatan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pada 2024 dan 2025, Sabah dan Sarawak masing-masing hanya menerima peruntukan RM50 juta bagi tujuan berkenaan, namun jumlah itu meningkat ketara kepada RM200 juta bagi setiap negeri tahun ini.

“Jadi, yang saya nak terangkan dengan jelas… maknanya Kerajaan MADANI prihatin kepada Sarawak dan Sabah. Jadi, jauh lebih banyak peruntukan untuk maksud ini berbanding dalam 2024 dan 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Cabutan Undi Tawaran Kerja Penyelenggaraan Berkala Jalan Persekutuan Negeri Sarawak Tahun 2026 di sini hari ini.

Mengulas pelaksanaan kerja di Sarawak, Nanta berkata peruntukan RM200 juta itu melibatkan 141 kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi DAL HCM Sdn Bhd merangkumi kerja berkala turapan (BP) dan berkala bukan turapan (BPP).

Beliau berkata program berkenaan turut menjadi platform penting untuk memperkasakan kontraktor kecil bumiputera kelas G1 hingga G4 melalui proses cabutan undi yang telus dan berasaskan keperluan sebenar di lapangan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor tempatan untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan infrastruktur negara.

Nanta berkata semua kontraktor yang dilantik perlu melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab dan menjaga kualiti kerana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan langsung kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Kalau jalan kita tak diselenggara dengan baik, yang akan terkesan adalah pengguna. Kalau berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa, kitalah rasa berdosa. Sebab itu saya merayu kepada semua kontraktor, buatlah kerja dengan terbaik,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk menyenaraihitamkan kontraktor yang gagal melaksanakan kerja dengan baik dan seperti yang dijadualkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan