WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI MADANI MANFAATKAN SUMBER SEMULAJADI PULAU PANGKOR

08/02/2026 06:11 PM

LUMUT, 8 Feb (Bernama) -- Program Pembangunan Komuniti MADANI yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) berjaya memanfaatkan kekayaan alam semulajadi di Pulau Pangkor bagi membantu memperkasa sosioekonomi penduduk setempat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kelebihan pulau itu sebagai kawasan pelancongan, perikanan dan kawasan hijau membolehkan program yang dilaksanakan memberi impak maksimum kepada penduduk terlibat.

“Selain itu, Pulau Pangkor juga terkenal dengan hasil produknya sendiri, sebagai contoh pengeluaran madu kelulut dan pembuatan asil laut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Komuniti MADANI Pulau Pangkor Jabatan Pendidikan Tinggi di Arena Terbuka Kampung Masjid di sini hari ini.

Program tersebut telah dimulakan pada 2025, dengan Universiti Malaysia Terengganu menjadi satu daripada lima universiti awam yang terpilih untuk membimbing komuniti Pulau Pangkor antaranya melalui program Keusahawanan Kelulut Masyarakat MADANI.

Sementara itu, Zambry dalam ucapannya berkata inisiatif lain berimpak tinggi yang turut diperkenalkan melalui program itu ialah projek Teknologi Pengeringan Ikan Isundryer dan Sistem Rumah Cendawan Pintar Modular I-MISTROOM (Universiti Teknologi MARA) serta projek baja kompos (Universiti Putra Malaysia).

Beliau berkata gabungan kepakaran universiti terlibat serta beberapa institusi lain membuktikan keupayaan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi setempat menerusi perkongsian ilmu dan penyelidikan. 

“Inilah hasil daripada ilmu dan kepakaran universiti yang turun membantu rakyat yang bukan sahaja menjana ekonomi setempat tetapi juga meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup masyarakat.

“Pelaksanaan program ini tidak terhad di satu lokasi sahaja, sebaliknya akan diperluaskan ke seluruh Pulau Pangkor serta kawasan lain dengan penglibatan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan