WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENDUDUK BERGOTONG-ROYONG HIAS TOKONG SWEE NYET KEUNG SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

08/02/2026 06:01 PM

GUA MUSANG, 8 Feb (Bernama) -- Tokong Swee Nyet Keung di sini yang berusia 600 tahun kini dihias indah dengan pelbagai jenis tanglung dan bunga untuk membangkitkan suasana ceria sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Pengerusi unit keceriaan tokong berkenaan Foo Mei Lin berkata hampir RM10,000 dibelanjakan untuk menceriakan tokong tertua di negeri ini dengan kerja-kerja menghias telah dimulakan masyarakat setempat sejak bulan lepas.

Beliau berkata peruntukan itu hasil sumbangan komuniti Tionghua tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Tokong Swee Nyet Keung menjadi tumpuan penganut Buddha untuk menyambut kedatangan tahun baharu setiap tahun, jadi persiapan biasanya dilakukan seawal sebulan sebelum perayaan.

"Dekorasi mestilah bertemakan warna emas, merah, kuning dan merah jambu sebagai simbolik kepada kemewahan, kemeriahan dan keberkatan untuk menyambut tahun baharu," katanya kepada Bernama hari ini. 

Foo berkata tumbuhan hidup turut digunakan dengan diletakkan di bahagian dalam rumah ibadat tersebut, antaranya bunga kekwa serta pokok limau jenis kumquat

"Hiasan tiruan pula kita menggunakan pokok bunga meihua (plum) dan pokok buluh. Lebih 200 tanglung pelbagai jenis dan saiz juga digantung di dalam dan luar tokong," katanya. 

Seorang penduduk, Chan Kim Lan, 64, berkata kerja-kerja dekorasi masih dijalankan secara gotong-royong oleh penduduk setiap hari dan hubungan erat antara mereka menjadikan tugas berkenaan lebih mudah.

"Sudah menjadi rutin kami untuk hias tokong ini setiap kali menjelang tahun baharu, malah kami akan membuat pembahagian  tugas agar semuanya dapat disiapkan dengan teratur," katanya.

Lai Boon Hiong, 51 pula berkata ketika ini penduduk sedang mengusahakan pemasangan replika sebagai dekorasi tambahan dengan semua hiasan dibeli di pasar raya berhampiran dan secara dalam talian dari China. 

"Semuanya mesti baru, jadi kita mahu menggantikan yang lama untuk Tahun Kuda ini dan kita jangkakan hiasan ini dapat siap dipasang sebelum perayaan Tahun Baharu Cina," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan