WILAYAH - UTARA > BERITA

MALAYSIA, THAILAND PERKUKUH KERJASAMA AUDIT SUSULAN, ALAM SEKITAR

09/02/2026 06:00 PM

KEPALA BATAS, 9 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Thailand bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang audit susulan serta pengauditan alam sekitar melalui pelaksanaan program bersama di peringkat antarabangsa.

Jabatan Audit Negara (JAN) dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua negara akan membangunkan program kerjasama buat julung kali yang menekankan peranan strategik audit susulan hijau dalam memperkukuh akauntabiliti alam sekitar serta amalan baik bagi meningkatkan impak kelestarian.

Persetujuan tersebut dicapai hasil kunjungan hormat Pesuruhjaya Audit Negara Thailand Yuthapong Apirattanarungsri dan Ketua Audit Negara Thailand Monthien Charoenpol ke atas Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi di JAN Pulau Pinang di sini hari ini.

 "Institusi Audit Tertinggi (SAI) Malaysia akan menjadi peneraju bersama dalam program “Closing the Loop: A Global Follow-Up Audit Toolkit for Climate Change Adaptation Results” di bawah Kumpulan Kerja Pengauditan Alam Sekitar (WGEA) Organisasi Institusi Audit Tertinggi Antarabangsa (INTOSAI).

"SAI Thailand pula bersetuju untuk membangunkan satu daripada bab dalam Compendium of Good Practice of Follow up Audit di bawah Kumpulan Kerja mengenai Audit Susulan (WGFA) yang dipengerusikan oleh SAI Malaysia," menurut kenyataan itu.

Kunjungan tersebut melibatkan lapan orang delegasi SAI Thailand yang diiringi Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Pulau Pinang Psusist Wongsurawat.

JAN memaklumkan antara hasil utama pertemuan itu termasuk perkongsian kepakaran dan pengalaman SAI Malaysia dalam bidang audit selaku Pengerusi INTOSAI WGFA dan Jawatankuasa Perkongsian Pengetahuan (KSC) Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi ASEAN (ASEANSAI) manakala SAI Thailand telah berkongsi maklumat tentang pengauditan alam sekitar.

"Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang latihan dan pembangunan kapasiti khususnya dalam konteks amalan terbaik serantau dan antarabangsa bagi memastikan setiap pengauditan dilaksanakan secara berkesan, berimpak tinggi serta memberi manfaat langsung kepada rakyat," menurut kenyataan itu.

JAN memaklumkan ini merupakan kunjungan rasmi pertama kepimpinan tertinggi audit Thailand ke atas Ketua Audit Negara sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan strategik dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Menurut kenyataan itu, di peringkat antarabangsa, kedua-dua negara kini menerajui kumpulan kerja di peringkat INTOSAI dengan Wan Suraya mempengerusikan INTOSAI WGFA manakala Ketua Audit Negara Thailand menerajui INTOSAI WGEA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan