WILAYAH - SARAWAK > BERITA

" JHO LOW ARAH CEK NAJIB JANGAN DITOLAK" - SAKSI

09/02/2026 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low mengambil langkah bagi memastikan cek yang dikeluarkan daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak di AmBank tidak dipulangkan kerana dana tidak mencukupi.

Bekas pengurus hubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 54, berkata berdasarkan interaksinya dengan Jho Low, lelaki itu memberitahunya supaya memastikan cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib tidak dipulangkan.

“Beliau (Jho Low) menyebut supaya cek tidak ditolak atau dikembalikan sekiranya akaun terlebih keluar. Terdapat beberapa keadaan di mana rakan Jho Low akan membawa wang tunai ke bank untuk didepositkan ke dalam akaun apabila ia terlebih keluar.

“Saya rasa beliau tidak bimbang tentang cek apa yang dikeluarkan. Beliau bimbang sekiranya cek itu tidak ditunaikan oleh bank akibat dana tidak mencukupi. Terdapat beberapa insiden di mana Jho Low akan menghantar mesej kepada saya bertanyakan baki dalam akaun Najib,” katanya.

Yu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata memandangkan perkara itu berlaku beberapa kali, beliau pada beberapa kesempatan pernah bertanya kepada Jho Low dan pemegang amanah akaun Najib, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, mengenai sebab mengapa dana mencukupi tidak dipastikan sebelum cek dikeluarkan.

Apabila ditanya oleh Muhammad Farhan sama ada adalah perkara biasa bagi pemegang akaun mengeluarkan cek sedangkan akaun tidak mempunyai dana, Yu yang merupakan saksi defendan keempat berkata akaun tersebut bukan akaun biasa.

“Akaun ini milik Perdana Menteri. Ia bukan akaun biasa. Saya rasa tiada sesiapa yang sanggup melakukan perkara ini, melainkan mereka menganggap terdapat dana dalam akaun itu,” katanya.

Saman sivil yang difailkan pada tahun 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta serta ganti rugi bagi penerimaan yang mengetahui, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam dan penyalahgunaan kuasa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan