WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KADAR PERSIJILAN MSPO ESTET SAWIT CAPAI 90 PERATUS - NORAINI

09/02/2026 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan terus komited memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian kemampanan antarabangsa apabila 90 peratus estet sawit negara dan 85 peratus pekebun kecil persendirian setakat ini telah memperoleh Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Belia berkata bagi memperluas liputan pensijilan itu kepada pekebun kecil sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyediakan bantuan geran sepenuhnya kepada golongan berkenaan.

“Kerajaan memberikan komitmen penuh untuk memenuhi keperluan Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) bukan sahaja untuk sektor sawit tetapi juga untuk semua komoditi lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya kini dalam peringkat akhir membangunkan Sistem Kebolehjejakan Nasional (SKN) bagi menyokong sistem Kebolehjejakan, iaitu satu daripada komponen utama dalam EUDR.

“(Ia merupakan) satu sistem bersepadu yang menggabungkan sistem-sistem sedia ada di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi menyokong pematuhan peraturan EUDR dan keperluan kemampanan global pada masa hadapan. 

"SKN ini dijangka dapat digunapakai sepenuhnya pada Mac 2026,” katanya.

Beliau berkata tiga sistem utama yang membentuk teras kepada SKN ialah Sawit Intelligent Management System (SIMS), GeoSawit dan eMSPO.

SIMS adalah satu sistem di MPOB yang merekod maklumat pelesenan dan transaksi rantaian bekalan dari ladang hingga pintu keluar pelabuhan. 

Noraini berkata sistem kedua iaitu GeoSawit berfungsi memetakan kedudukan sebenar lokasi dan poligon kebun serta ladang termasuk pemantauan penyahhutanan yang sesuai dengan pematuhan EUDR, manakala sistem ketiga iaitu e-MSPO memaparkan status dan maklumat pensijilan MSPO terkini.

“Melalui SKN, setiap rantaian sawit Malaysia akan mempunyai data geolokasi lengkap bagi ladang dan pekebun kecil.

"Ini termasuk pemantauan penyahutanan, maklumat pemilikan dan pemegang lesen MPOB yang sah, status pensijilan dan audit MSPO, rekod transaksi digital antara pembekal dan kilang dan jejak data dari ladang hingga produk akhir,” katanya. 

Selain itu, Noraini juga memaklumkan bahawa sehingga kini, keluasan tanaman sawit yang telah dilesenkan di seluruh negara adalah sekitar 5.7 juta hektar.

Beliau berkata kerajaan kini memfokuskan usaha untuk menambah hasil pengeluaran sawit negara melalui pendekatan strategik yang menekankan peningkatan produktiviti, antaranya menerusi pelaksanaan program tanam semula bersasar seperti Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0). 

Bagi sektor lada pula, Noraini berkata Lembaga Lada Malaysia (MPB) menggalakkan para pekebun memfokuskan kepada penghasilan lada premium seperti Lada Berkualiti Eksport dan Lada Putih Krim yang mampu mencapai harga sehingga RM65,000 satu tan metrik di pasaran. 

Pendekatan itu bertujuan membolehkan pekebun menikmati pulangan yang lebih baik melalui harga premium yang ditawarkan, di samping memastikan bekalan lada premium yang terjamin dan konsisten bagi memenuhi permintaan pasaran peringkat atasan atau niche market, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan