KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Maxis dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Perak Women for Women (PWW) menyambut kedatangan “Tahun Kuda” dengan membawa keceriaan dan semangat kebersamaan kepada keluarga kurang berkemampuan di Ipoh menerusi program Maxis Connecting Moments: Chinese New Year Celebration.
Menerusi kenyataan hari ini, Maxis memaklumkan dengan bertemakan “Menghubungkan Hari Ini, Kemakmuran Esok”, sambutan berkenaan diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Buntong Harmoni, Ipoh dengan penerima bantuan terdiri daripada 100 keluarga dalam kalangan komuniti sekitar.
“Sebagai persiapan menyambut Tahun Baharu Cina yang bakal tiba, setiap keluarga menerima sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan barangan asas lain serta limau mandarin.
“Selain itu, komuniti berkenaan turut menerima 300 kad SIM percuma dan tiga komputer riba bagi menyokong akses digital untuk kelas komputer percuma yang diadakan setiap minggu di pusat komuniti PPR itu,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan turut dihadiri Ahli Majlis Bandaraya Ipoh K. Sivam dan P. Lawrence, wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Menurut Maxis, sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai permainan perayaan mesra keluarga termasuk Bingo dengan sokongan sukarelawan syarikat telekomunikasi itu.
“Tarian singa yang ceria serta upacara tradisional menggaul yee sang diikuti dengan jamuan perayaan bersama, menandakan penutup majlis dan melambangkan perpaduan, kemakmuran serta harapan bersama untuk tahun yang akan datang.
“Selaras dengan kepercayaan Maxis bahawa “Esok Bermula Hari Ini”, Maxis kekal komited untuk memperkasakan komuniti yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman menerusi kenyataan sama berkata Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan baharu serta pengukuhan hubungan yang bermakna.
“Kami (Maxis) berbesar hati dapat meraikannya bersama komuniti ini. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menyemarakkan kegembiraan perayaan dan pada masa yang sama memberi sokongan kepada golongan memerlukan agar mereka dapat menyambut tahun baharu ini dengan lebih tenang serta dapat kekal berhubung,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial