WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUAMI ISTERI MAUT NAHAS BABIT TIGA KENDERAAN DI GERIK

09/02/2026 09:35 PM

IPOH, 9 Feb (Bernama) -- Sepasang suami isteri maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua motosikal di KM96.4 Jalan Kuala Kangsar-Pengkalan Hulu, Gerik hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan lelaki berusia 38 tahun dan isterinya berusia 33 tahun itu pada 2.45 petang. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha XMAX dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, sebuah lagi motosikal Yamaha XMAX ditunggang seorang lelaki bersama pembonceng wanita yang berada di belakang motosikal pertama, tidak sempat mengelak lalu terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Samad berkata impak daripada perlanggaran berkenaan menyebabkan pasangan suami isteri itu  meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik.

Beliau berkata pemandu Toyota Hilux cedera pada tangan kanan, penunggang motosikal kedua pula mengalami patah tulang bahu kanan manakala pemboncengnya patah tulang paha kiri, dengan kesemuanya dirawat di hospital sama.

Kemalangan itu sedang disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan